Rumah Terbakar UMNO Bina Baru


Balik Pulau: Biro Kebajikan UMNO bakal membina dua rumah baru untuk tiga keluarga mangsa kebakaran di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar di sini, awal pagi kelmarin selepas mendapat kelulusan bomba dan polis dalam tempoh terdekat.

Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bantuan itu diberikan kerajaan sebagai tanda prihatin terhadap tragedi menyayat hati yang mengakibatkan dua beranak, Nazri Zainal Abidin, 29, dan bayi perempuannya, Damia Auliah Salsabila, tiga bulan, terkorban.

Beliau berkata, bantuan itu diberikan kepada keluarga berkenaan yang kehilangan tempat tinggal selain sumbangan RM10,000 dihulurkan semalam.

“Saya berbincang dengan Ahli Parlimen Balik Pulau untuk membina semula dua rumah yang musnah dalam kebakaran itu membabitkan kos RM44,000 setiap satu.

“Pembinaan itu dibuat di tapak asal selepas mendapat kelulusan bomba dan polis selain mengarahkan UMNO Bahagian Balik Pulau melantik kontraktor dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa, petang semalam. Hadir sama Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang juga Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Nordin Ahmad.

Menurutnya, pihaknya hadir mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyampaikan bantuan kebajikan kepada tiga keluarga mangsa kebakaran berkenaan.

“Bantuan ini diberikan kepada Nordin untuk tindakan lanjut dan Alhamdulillah masalah keluarga mangsa kebakaran diselesaikan hari ini.

“Semua keluarga mangsa ditempatkan di Dewan Serba guna Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gertak Sanggul manakala isteri arwah Rosshina Abd Latif, 24, dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.

Sementara itu, nenek mangsa, Che Gayah Mat Rawi, 76, terharu apabila kerajaan menghulurkan sumbangan wang tunai dan bakal membina rumah baru untuk mereka.
- My Metro


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Rumah Terbakar UMNO Bina Baru"

Post a Comment