Bolehkah Umno Selangor Sedia Resepi Luar Biasa Untuk Rampas Selangor



SHAH ALAM, 25 Feb ― Umno Selangor disaran menyediakan "resepi luar biasa" yang paling berkesan bagi menawan semula negeri itu daripada cengkaman pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata selain itu semua anggota parti harus terus mengeratkan perpaduan dengan mengelakkan sebarang perselisihan faham.

"Jangan merajuk kerana dulu tidak dapat naik pangkat, tidak dapat projek. Apa yang penting adalah masa depan generasi muda dan negara secara keseluruhannya.

"Musuh kita sentiasa mencari jalan untuk melaga-lagakan kita. Mereka menggunakan media sosial untuk menyerang pemimpin kita," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung pertama Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) cawangan Selangor di sini semalam.

Ibrahim berharap semua anggota kelab itu terus menyokong dan menghulurkan bantuan demi meneruskan kesinambungan parti.

Menyifatkan pesara kanan kerajaan sebagai golongan profesional dan berpengalaman luas, Ibrahim yakin kumpulan berkenaan mampu menjadi benteng kepada pentadbiran negara bagi menghadapi musuh politik pada masa kini.

KUPKKM Selangor kini bergiat di enam kawasan parlimen iaitu Selayang, Gombak, Ampang, Hulu Langat, Kota Raja dan Shah Alam.

Sementara itu, setiausaha Umno Selangor Datuk Johan Abdul Aziz pula berkata gerak kerja mendaftar pengundi baharu merupakan fokus utama pihaknya kini berikutan masih ramai golongan muda di negeri itu belum berdaftar sebagai pengundi, dan berharap semua anggota parti dapat membantu.

"Selain anggota parti, anggota KUPKKM Selangor juga boleh membantu gerak kerja ini dengan mendaftarkan anak-anak, saudara terdekat termasuk cucu masing-masing," katanya.

Beliau berkata difahamkan terdapat lebih 60,000 pesara kerajaan di enam kawasan parlimen Selangor dan jika mereka memberi kerjasama dalam mendaftar anak, cucu dan saudara-mara terdekat sebagai pengundi, sudah pasti jumlahnya akan berlipat kali ganda.

Turut hadir ketua penyelaras KUPKKM Selangor Datuk Ramlan Othman. ― Bernama

- See more at: http://ift.tt/1QiPUSq


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Bolehkah Umno Selangor Sedia Resepi Luar Biasa Untuk Rampas Selangor"

Post a Comment