KM Sarawak Puji Najib


SARATOK 28 Feb. – Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem memuji Datuk Seri Najib Tun Razak yang amat prihatin dengan rakyat Sarawak apabila mencipta rekod sebagai Perdana Menteri paling kerap melawat dan membantu membangunkan negeri ini.

Katanya, komitmen Najib melaksanakan pelbagai projek pembangunan menyaksikan banyak transformasi dialami negeri ini, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar, amat dihargai.
“Dalam kalangan Perdana Menteri bermula daripada Tunku Abdul Rahmah Alhaj sampai sekarang, Najib adalah yang paling kerap melawat dan paling prihatin terhadap keperluan serta kehendak rakyat negeri ini, terutama dalam konteks pembangunan.

“Perdana Menteri jelas membuktikan segala projek diumumkannya (untuk Sarawak) bukan sekadar omong kosong. Seperti di Semenanjung, rakyat kita juga mahukan super highway dan Perdana Menteri memberikan kita Lebuh raya Pan Borneo yang kini dalam pembinaan,” katanya ketika berucap dalam Program Sejiwa Senada 2016 yang dirasmikan oleh Najib di Dataran Saratok, di sini hari ini.

Adenan yang kebetulan menyambut ulang tahun kedua dilantik sebagai Ketua Menteri hari ini kelihatan cukup ceria, malah sempat mendendangkan lagu kegemarannya Can't help falling in love with you, nyanyian Elvis Presley sebelum memulakan ucapan di atas pentas.

Adenan turut mengagumi keprihatinan Najib terhadap kehendak dan keperluan rakyat negeri ini, dengan sebahagian kawasan pedalaman dan luar bandar sudah dijelajahi beliau.

“Dari Kuching hinggalah ke Lubok Antu, Saratok, Sibu hinggalah ke Hulu Baram dan banyak lagi kawasan (pedalaman) sudah dilawati beliau. Najib adalah Perdana Menteri paling kerap melawat Sarawak.....meninjau kehidupan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adenan memberitahu, lebih banyak program pembangunan dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri jika memperoleh mandat lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) nanti.

Katanya, dalam tempoh dua tahun pemerintahan yang singkat, terdapat 50 pelan dan tindakan sudah dilaksanakannya yang memenuhi aspirasi rakyat dan menjanjikan lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan sekiranya diberikan mandat lima tahun lagi memerintah.




Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "KM Sarawak Puji Najib"

Post a Comment