Kenapa Cina Tolak BN?



Masyarakat Cina telah menolak SUPP, wakil Barisan Nasional, dalam pilihan raya 2011. Dengan segala dasar dan langkah pro-Cina di bawah kepemimpinan Tan Sri Adenan Satem, adakah masyarakat Cina akan terus menyokong DAP? Apa lagi yang Cina mahu?

Untuk menjawab soalan ini, Awang Bolkiah Ali, wartawan kanan SarawakVoice.com terbang ke Kota Kinabalu, untuk menemu bual secara eksklusif, penganalisis politik dan pakar politik Cina di Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang berasal dari Sarawak, Dr Lee Kuok Tiung.

SV: Pada Pilihan Raya Negeri 2011, undi Cina yang menyokong BN hanya sekitar 37 peratus, turun sebanyak 12 peratus. Mengapa pengundi Cina menolak BN ketika itu?

Pertama, sekali semestinya faktor Pek Moh. Beliau dianggap telah overstay dan membolot semua kekayaan negeri untuk keluarganya. Propaganda dimainkan pembangkang cukup hebat seperti kalau Pek Moh tak turun, rakyat makan rumput dan sebagainya.

Keadaan diburukkan lagi dengan faktor media baharu yang pada ketika itu termasuk Sarawak Report betul-betul aim dekat Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Masalah dalaman parti SUPP pada ketika itu menyebabkan rakyat ragu-ragu menaruh kepercayaan undi mereka kepada parti yang hari-hari bertikam sesama sendiri. Kalau saya pun saya tidak mahu undi SUPP waktu itu.

Masalah dalaman parti itu juga menyebabkan ahli SUPP mensabotaj calon sendiri seperti berkempen untuk DAP, dan derma wang kepada DAP.

Dengan segala langkah mesra Cina diambil Ketua Menteri mungkinkah pengundi Cina akan berubah hati dalam pilihan raya ke-11 April depan?

Berubah hati macam mana? Yang pasti pengundi Cina pun suka Tan Sr Adenan Satem.

SUPP sudah overhaul. Sekarang mereka boleh nampak bersatu sebagai sebuah pasukan tunggal. Kalau kita ikut Facebook Dr. Sim misalnya, kita boleh lihat aktiviti-aktiviti beliau dengan komuniti – dengan persatuan alumni dan PIBG sekolah, penduduk kampung, persatuan keagamaan, …. nampak solidlah, humble .. berjiwa rakyat. Lantang terhadap Putrajaya juga. Boleh scroll through FB dia.

Pada 2011 DAP memenangi 12 kerusi majoriti Cina. Sebab DAP dapat sokongan pengundi Cina?

Bagi saya bukan juga sokong, tetapi tiada pilihan yang lebih baik pada ketika itu. Calon BN untuk kerusi mereka tidak meyakinkan, tidak impressive.

Ketika itu pun heboh, pembangkang bakal ambil alih kerajaan Malaysia. Spiral of silent bah kalau teori komunikasi. Mesti kita mahu memihak mereka yang menang.

DAP memang lantang bersuara. Tapi sejauh mana suara tersebut menyumbang kepada pembentukan dasar kerajaan, kita semua tidak pasti.

NGO sebenarnya nampak lebih menonjol. Kita lihat di Semenanjung Bersih dan Hijau dapat kumpul begitu ramai orang. Dan gerakan-gerakan ini menguntungkan DAP dan PKR apabila ada pemimpin mereka yang ikut serta. Bukan mereka penganjur pun.

Tapi di Sarawak lain sikit. Kita pun boleh nampak himpunan Bersih di Sarawak gagal, terpaksa lerai awal lagi.

Yang hebat itu S4S. Mana-mana boleh dilihat. Banyak lagi kereta yang tampal stiker atau dicat logo S4S. Menariknya, S4S dilihat bersama-sama dengan Adenan dalam pilihan raya akan datang ini. Mungkin disebabkan beliau turun bersama-sama meraikan perayaan 22 Julai itu.

Mengapa perlunya masyarakat Cina di sokong kepemimpinan Adenan?

Perlukah? Hahaha …

Penting dan perlu sebenarnya. Keputusan mereka sebenarnya bukan sahaja akan membawa perubahan kepada negeri Sarawak, tetapi keseluruhan Malaysia. Jikalau pilihan raya akan datang ini, Cina balik mengundi BN – seluruh BN Malaysia kena belajar daripada Adenan atau BN Sarawak. Mesti jadi topik hangat.

Tetapi saya nampak juga bahaya atau hazardnya kepada Ketua Menteri Sarawak. Jikalau Cina tidak mengundi BN kali ini, suara yang tidak sedap didengari dari luar Sarawak akan mulai kedengaran. Maka, terpulang kepada pengundi Cina mahu bersama-sama Adenan membawa perubahan, menggerakkan suatu anjakan paradigma dalam politik tanah air atau biar dia berseorangan.

Saya lihat Adenan sendiri pun mahu satu kemenangan yang jitu untuk membolehkan suara Sarawak lebih jelas kedengaran di Putrajaya. Kalau tidak mudah kena sindir tidak mewakili suara Sarawak, Cina tidak bersama-sama. So, we wait and see lah.

Apa sebenarnya yang dimahukan oleh masyarakat Cina? Apa lagi Cina mahu?

Pertama, kita mesti sedar Cina ini bukan homogeneous. Segmen masyarakat Cina yang berbeza memerlukan pendekatan berbeza. Yang common itu mungkin pendidikan, semua Cina pentingkan pendidikan. Kebudayaan tradisi masyarakat Cina. Tempat di IPTA dan bantuan untuk pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian.

Diharapkan, tiada lagi pihak yang tidak bertanggungjawab suka-suka melaungkan hapuskan sekolah Cina. Sekolah vernakular Cina itu mempunyai sejarah yang lebih panjang daripada sejarah pembentukan negara kita Malaysia. Produk sekolah vernakular itu yang bersama-sama sepakat menuntut kemerdekaan.

Bukan juga semua Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina hari ini. Malahan kalau kita pergi melawat sekolah Cina, jangan terkejut melihat lebih ramai pelajar-pelajar bumiputera.

Juga sikap rasis tu, prejudis terhadap Cina. Sikit-sikit tidak suka panggil Cina ‘pendatang’. Ini merupakan sesuatu yang unacceptable dan kerajaan sebelum ini dilihat berputih mata membiarkan golongan ekstremisme ini membuli Cina dengan panggilan sedemikian.

Masyarakat Cina mahu pemimpin yang boleh bersuara untuk mereka. Bukan diam menengok sahaja.

Dan mungkin paling penting adalah ekonomi. Kita perlukan persekitaran ekonomi yang kondusif untuk membolehkan semua orang cari makan. Keadaan ekonomi semasa tidak begitu baik. Kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk merangsangkan aktiviti ekonomi domestik. Malahan, bagi saya kalau anda dapat kepercayaan pengundi Cina, calon atau parti bertanding bukan sahaja dapat undi mereka, tetapi sumbangan kewangan mereka. Kita boleh lihat setiap kali pilihan raya mereka tampil memberi sumbangan kepada parti-parti politik untuk berkempan. Cuma yang previous elections kita nampak mereka derma kepada parti pembangkang.

Pemimpin kita juga perlu “telling the truth, and the whole truth”.

Banyak lagi boleh cerita. Tapi komunikasi di antara calon atau parti bertanding dengan pengundi sangat pentinglah. Proses penyampaian dan kesampaian maklumat itu. Kadangkala mesej itu tidak sampai atau pengundi kena misleading.

Boleh beri pandangan bagaimana jalan penyelesaian terbaik redakan konflik UPP dengan SUPP?

Ini soalan sensitif. Tetapi saya perlu jawab kerana anda tanya saya.

UPP bukan parti komponen BN.

Apabila puak UPP ini keluar dari SUPP, mereka sebenarnya telah membantu menyelesaikan masalah dalaman SUPP. Umpama keluarkan kanser daripada badan SUPP. Saya terpaksa jugalah bagi pujian kepada orang yang menyuruh mereka berbuat demikian itu – bijak kan? Dan mungkin juga itulah matlamat sebenarnya. Sejak puak UPP keluar, kita boleh nampak SUPP telah menjadi kuat.

SUPP tidak boleh sama sekali memberikan kerusi mereka kepada UPP kerana melibatkan soal kepercayaan rakyat terhadap SUPP. Adenan pun tidak boleh mengarahkan SUPP beri kerusi kepada UPP kerana melibatkan soal kredibiliti kepimpinan beliau. Apa yang dia ada hari ini pun kerana komrad yang berjuang bersama-sama dia. Kalau UPP menang sekalipun ia hanyalah akan wujudkan suatu lagi masalah baharu dalam BN Sarawak. Kabinet sekarang ialah kabinet yang diturunkan kepada Adenan, bukannya yang dipilih oleh beliau sendiri.

Jangan bilang SUPP keras kepala, itu soal prinsip. Kenapa UPP pun berkeras juga mahu kerusi?

Saya tidak mahu kata mereka pun sudah begitu lama jadi YB. Mungkin sudah tiba masa ADUN-ADUN ini beri laluan kepada barisan pelapis yang baharu. Sebab tiada alasan ada lagi benda yang tidak sempat mereka buat.

Jadi saya melihat dua alternatif. Pertama, UPP secara gentlemen menawar undur diri untuk menyelesaikan kerunsingan kepada Adenan. Kedua, UPP beli borang penamaan calon dan tanding lawan calon SUPP, DAP, PKR, atau meriah sikit ditambah dengan beberapa orang calon Bebas. – SARAWAKVOICE.COM


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Kenapa Cina Tolak BN?"

Post a Comment