Muhyiddin Sedia Kerjasama Dengan Sesiapapun



KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai pandangan serupa dengannya untuk menyelamatkan negara.

Menurut Muhyiddin, beliau tidak akan mempertikaikan siapa individu mahupun kumpulan itu.

"Asalkan tujuan niatnya baik, bukan niat jahat...untuk kebaikan negara, menjaga kepentingan rakyat. Mereka melihat ada kemungkaran berlaku dan mereka tidak mahu berdiam diri.

"Saya tidak mahu tanya siapa mereka, asalkan mereka mempunyai pandangan yang sama, saya akan bersama mereka," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kesediaannya bekerjasama dengan pembangkang dalam menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau turut mengesahkan kehadirannya dalam perhimpunan yang bertujuan untuk mendesak Najib meletakkan jawatan, anjuran Datuk Zaid Ibrahim, hujung bulan ini.

"Insya-ALLAH. Saya kalau ada majlis itu tujuannya baik (saya datang). Saya telah diberitahu Datuk Zaid Ibrahim, dia ingin mengadakan perhimpunan ini untuk mengumpulkan beberapa ahli-ahli pejuang dalam negara kita untuk menyuarakan bantahan terhadap kepimpinan.

"Jadi, saya fikir kita sehaluan. Jadi, atas dasar itu, saya kata, insya-ALLAH saya akan hadir," katanya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad disahkan akan menghadiri perhimpunan itu.

Mengulas mengenai kedudukannya dalam parti yang sudah tiada jawatan, Muhyiddin berkata itu bukan alasan untuk beliau berdiam diri.

"Apabila saya jelaskan saya kekal dalam Umno tidak bermakna saya tidak akan berbuat apa-apa, takut kalau seperti mana amaran Setiausaha Agung Umno...dia akan pecat saya. Saya tak takut pada sebarang ugutan kerana pada saya perjuangan saya masih belum selesai.

"Saya akan terus bersuara malahan lebih lantang daripada dahulu. Saya akan terus menyuarakan perkara yang betul, bukan tohmahan, bukan tuduhan," katanya.

Beliau enggan mengulas lanjut kemungkinan beliau akan bertanding melawan Najib sebagai Presiden dalam pemilihan Umno akan datang.

"Lambat lagi," jawabnya ringkas.

Jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno digantung serta merta minggu lalu oleh Majlis Tertinggi Umno.


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Muhyiddin Sedia Kerjasama Dengan Sesiapapun"

Post a Comment