Buaya Sepanjang 15 Kaki Sesat



SRI AMAN: Seekor buaya sepanjang 15 kaki dipercayai sesat dan terperangkap ditemukan di sebuah parit di Kampung Tawang Hulu,Tanjung Bijat, dekat sini semalam. Seorang penduduk berkata, dia terkejut menemukan buaya tersebut yang sesat lalu terperangkap dalam sebuah parit berdekatan kampung itu kira-kira pukul 5 petang. "Pada mulanya takut juga melihat buaya itu, tetapi kami memberanikan diri untuk mendekatinya.

"Kami percaya bahawa buaya tersebut yang telah muncul dan menggemparkan penduduk malam kelmarin yang merangkak di atas jalan raya berdekatan rumah panjang Mancha,Tawang Hulu. “Sejurus selepas itu, kami menghubungi pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Sri Aman dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk menangkap buaya tersebut," katanya. Dalam pada itu, Pegawai Bomba, James Salang Nicholas berkata, buaya berukuran kira-kira 15 kaki panjang itu ditangkap pada jam 7 malam.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.22 petang dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman dikerah ke tempat kejadian. "Kami mendapat bantuan pegawai dari agensi lain termasuk empat dari Jabatan Hutan Sarawak (SFC), tiga dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan dua anggota polis. "Buaya itu diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak dan akan dihantar ke Santuari Hidupan Liar Semenggoh untuk pemuliharaan," katanya.

Kehadiran buaya itu disedari penduduk kampung kira-kira jam 9.30 malam kelmarin apabila reptilia itu merangkak di atas jalan raya.

Kejadian itu mencetuskan suasana gempar apabila ramai penduduk keluar untuk melihat reptilia ganas itu.Buaya itu kemudiannya melarikan diri ke kawasan semak sebelum menghala ke arah sungai Batang Lupar.

Bagaimanapun, petang semalam penduduk ternampak buaya itu dalam parit dan menghubungi pihak berkuasa untuk menangkapnya.
utusansarawakonline.com




Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Buaya Sepanjang 15 Kaki Sesat"

Post a Comment