Hina PM Ratu Naga Dijamin RM7,000



SEPANG: Seorang perunding pembinaan yang menggunakan gelaran 'Ratu Naga' di laman sosial Facebook dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menghina perdana menteri di laman sosialnya, Oktober lepas.

Syarul Ema Rena Abu Samah, 35, yang berpakaian kot serba hitam dan berada di luar kandang tertuduh sebagai Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani.

Dia didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook 'Ratu Naga' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), dengan niat untuk menyakitkan hati.

OKS didakwa melakukan kesalahan itu dengan memuat naik komen tersebut di laman Facebooknya pada 12.02 pagi, 6 Okt 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh menawarkan wang jaminan antara RM3,000 hingga RM7,000 terhadap OKS, mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana menghina pemimpin nombor satu negara.

"OKS telah membuat penghantaran komen kepada pemimpin nombor satu negara kita. Bagi menjamin OKS hadir ke mahkamah, pohon jumlah jaminan yang munasabah," katanya.

Bagaimanapun, Syarul Ema Rena yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan dia yang hanya berpendapatan RM3,000 sebulan menghadapi masalah kewangan dan baharu sahaja dimaklumkan mengenai kes dihadapinya, semalam.

Hakim Aizatul Akmal membenarkan OKS diikat jamin RM7,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan kes turut dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Norhani Mohd Adzhar. - Bernama


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Hina PM Ratu Naga Dijamin RM7,000"

Post a Comment