Nafi Geran Bukan Duit Kerajaan


SUNGAI KELABIT, BAKONG: Calon Parti Demokratik Progesif Sarawak (SPDP) Marudi Datu Dr Penguang Manggil menafikan beliau berhutang dengan syarikat tertentu dalam pengagihan geran kepada beberapa rumah panjang di sekitar Marudi.

Penguang mengakui berasa terkejut dengan kenyataan penyandang kerusi Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran dalam sebuah akhbar tempatan yang mendakwa geran tersebut bukan bantuan kerajaan sebaliknya duit parti.

“Sebenarnya duit atau cek daripada saya adalah geran dilulus kerajaan pusat oleh Perdana Menteri menerusi Jabatan Perdana Menteri. Kita salur geran berkenaan kepada rakyat.

“Saya memberi geran kepada rakyat yang tidak diberi bantuan selama ini.

“Entri berbohong besar kerana mengatakan wang tersebut adalah hasil saya berhutang atau wang syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Michael Bangat, Sungai Kelabit, Bakong kelmarin.

Penguang kesal dengan dakwaan itu dan menyifatkan tindakan Entri itu sebagai orang yang ketakutan dan kabur penglihatan.

“Kita duduk di negara demokrasi. Justeru jika kita sebagai wakil rakyat sudah tidak disokong rakyat, kita harus berundur secara baik. Saya beri geran kepada rakyat yang tidak diberi bantuan selama ini.

“Saya percaya rakyat sudah tahu niat saya baik demi membela mereka.

“Tidak perlu bersuluh kerana sudah terang, SPDP merupakan parti komponen dalam Barisan Nasional. Jangan kelirukan rakyat dengan parti yang diperjuangkannya,” katanya.

Pada majlis sama, Penguang turut menyampaikan geran daripada Jabatan Perdana Menteri bernilai RM15,000 untuk Rumah Michael Bangat.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Pandang Sema dalam ucapannya berkata, beliau begitu teruja dengan sokongan rakyat di Marudi terhadap Penguang.

“Saya melihat sokongan rakyat di Marudi. Sokongan ini amat luar biasa. Saya juga mendengar bisikan rakyat yang menyokong Penguang mencecah 90 peratus.

“Maka beliau tidak bermasalah akan menang dengan majoriti besar,” dakwa Pandang yang menyokong Penguang sebagai calon di Marudi. -Utusan Borneo.


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Nafi Geran Bukan Duit Kerajaan"

Post a Comment