Pengundi Tak Usah Pertikai Calon BN Sarawak



KANOWIT: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan tidak boleh mempertikaikan keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang telah menetapkan Allan Siden Gramong bertanding di kerusi DUN Machan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Datuk Gramong Juna berkata, keputusan itu juga sudah dibincangkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebelum diumumkan dengan rasminya oleh Setiausaha Agung BN Datuk Dr Stephen Rundi Utom pada satu majlis di Kanowit, baru-baru ini.

“Keputusan itu turut dipersetujui oleh Adenan selaku Ketua Menteri kita.

“Justeru, keputusan sudah dibuat maka ia tidak boleh diubah. Allan Siden adalah pengganti saya dan tetap menjadi calon BN atas tiket PBB di kerusi DUN Machan pada PRN ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Pentas Hiburan Chap Goh Mei di pekan Machan yang berlangsung di Tebingan Sungai Machan, malam kelmarin.

Pentas berkenaan adalah anjuran komuniti Cina di Nanga Machan dan Pemuda PBB Machan yang dihadiri kira-kira 3,000 penduduk tempatan.

Hadir sama ialah isteri Gramong iaitu Datuk Catherine Gramong, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Ahli Parlimen Belia Malaysia Kanowit merangkap Ahli Majlis Tertinggi Pemuda PBB Allan Siden Gramong, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong, Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Daniel Desmond Benjamin, Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Donny Minggu Ling dan pengerusi jawatankuasa pengelola Kaunselor Kapitan Leong Khing Hee.

Gramong yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah dan Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) mengajak rakyat di Machan memberi sokongan padu kepada Allan.

“Kita harus bersama dalam BN walau apa pun terjadi dan jangan sesekali memberi sokongan anda kepada parti lain selain BN.

“Mereka yang sebelum ini memihak kepada pembangkang harus kembali bersama BN pada PRN kali ini. Berfikirlah sedalam-dalamnya bahawa anda termasuk generasi akan datang amat memerlukan pembangunan,” tegasnya.

Sementara itu, Gramong turut mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan bertanding pada PRN ini dan menyerahkan kepada anaknya, Allan.

Katanya beliau sudah lama berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sudah tiba masanya untuk berehat.

“Banyak sudah saya laksanakan pembangunan dan lihatlah perubahan di DUN Machan berbanding masa dulu. Kepada yang belum menikmati pembangunan, jangan marah serta berasa kecil hati dengan kerajaan.

“Tidak apa, anak saya Allan akan meneruskan legasi pembangunan di DUN Machan. Beliau akan menyambung tugas saya. Oleh itu, berilah sokongan padu anda kepada Allan bagi menikmati pembangunan yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Gramong turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengundi di DUN Machan yang telah memberi sokongan kepadanya selama sembilan penggal menjadi wakil rakyat.

“Begitu juga dengan PBB, rakan-rakan parti, rakan parti komponen yang lain dan ramai lagi. Terima kasih banyak dengan sokongan anda selama ini,” tambahnya.

Pada majlis itu, Allan turut menyerahkan angpau kepada 18 penerima yang terdiri daripada warga emas.

Hadirin pada malam tersebut dihiburkan dengan pelbagai persembahan hiburan daripada artis popular Iban iaitu Rickie Andrewson, Eisner Nala serta artis tempatan Cina di samping dipertontonkan dengan persembahan kebudayaan Cina, tarian singa dan sebagainya. - Utusan Borneo.


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Pengundi Tak Usah Pertikai Calon BN Sarawak"

Post a Comment