Bomba Akan Baiki Rumah Hampir Roboh


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan membaiki rumah di Pulau Tokang yang hampir runtuh akibat banjir kuning 2014 bagi meringankan penderitaan keluarga nelayan terbabit.

Pengarah Bomba Kelantan, Azmi Osman berkata, pihaknya bercadang untuk membaiki rumah terbabit Mac depan selepas meninjau sendiri keadaan rumah itu.

“Jabatan bomba atas dasar perikemanusiaan akan cari peruntukkan di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Negara (NBOS) bagi membaiki atau membina rumah ini.

"Kita mengalu-alukan NGO untuk turut sama bantu meringankan beban ditanggung keluarga ini semoga mereka sekeluarga mendapat kediaman yang selesa untuk pulihkan trauma akibat banjir 2014,” katanya ketika ditemui sewaktu turun padang melihat keadaan rumah pasangan suami isteri Siti Nur Amirah Yassin, 22, dan suaminya, Norhisyam Kamarudin, 30, yang disiarkan Sinar Harian kerana mendiami rumah hampir runtuh.

Jelas Azmi, bomba mempunyai keupayaan tenaga namun terbatas dari sumber kewangan untuk menyediakan bahan binaan.

“Jabatan kami mengalu-alukan sumbangan bahan binaan dari penderma di samping turut meminta Norhisyam mendapatkan pasir dari sungai,” katanya.

Sementara itu, Siti Amirah bersyukur kerana kesengsaraan dia dan suami serta tiga anak mendiami rumah yang hampir runtuh bakal berakhir.

“Selepas banjir kuning 2014, kami anak beranak tinggal di rumah yang tiada dapur, ruang tamu pula bocor, lantai reput, rumah pula tunggu masa nak runtuh. Saya hanya mampu menghitung hari menunggu rumah ini menyembah bumi,” katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada JBPM kerana prihatin membantunya sekeluarga apabila sanggup membaiki rumah ini.

“Kami lebih selesa tinggal di pulau ini kerana di sinilah rezeki suami saya sebagai nelayan, kalau berpindah di tempat lain, suami saya risau dia tiada pekerjaan kerana dia hanya pandai ke laut sahaja,” katanya.

Kelmarin Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri hanya mampu menghitung hari menunggu rumahnya runtuh di Pulau Tokang di sini apabila usahanya untuk mendapat bantuan baiki rumah gagal.

Siti Amirah memberitahu, setahun lalu kisah dia sekeluarga mendiami rumah yang hampir ranap akibat banjir kuning pernah mendapat liputan media.

Katanya, apabila kisahnya tersiar dalam akhbar, ramai pihak datang melihat namun sampai sekarang rumahnya masih belum dibaiki meskipun sudah setahun berlalu.

Menurutnya, beberapa hari lalu, penderitaannya lima beranak itu sekali lagi mendapat perhatian apabila menjadi viral di laman sosial.


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Bomba Akan Baiki Rumah Hampir Roboh"

Post a Comment