TPP: Dagangan Malaysia Dijangka Melepasi RM2 Trilion



KUALA LUMPUR - Jumlah dagangan Malaysia dijangka melepasi RM2 trilion berikutan pemetraian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, faedah segera TPP itu akan terbukti dengan kemasukan pelabur untuk menjadikan Malaysia sebagai satu daripada platform dagangan dan pelaburan mereka.

"Pemetraian TPP akan merangsang sentimen dan mewujudkan keyakinan di kalangan pelabur," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi dagangan negara untuk 2015 di sini, hari ini.

Semalam, Malaysia dan 11 negara lain menandatangani TPP yang akan mengembangkan pasaran, mengurangkan tarif serta mempromosi dagangan lebih bebas.

Dua belas negara dalam TPP itu ialah New Zealand, Australia, Chile, Mexico, Jepun, Peru, Kanada, Vietnam, Amerika Syarikat, Singapura, Brunei dan Malaysia.





Majlis menandatangani TPP itu diadakan di Auckland, New Zealand dan ia akan meyumbang hampir 40 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) bernilai AS$30 trilion (RM126 trilion).

Sementara itu, Ong berkata, Malaysia mencatat pertumbuhan positif pada separuh kedua 2015 kepada 5.1 peratus daripada pertumbuhan negatif 2.8 peratus pada separuh pertama, terutama daripada eksport kepada rakan kongsi perjanjian perdagangan bebas.

Eksport ke Turki mencatat kenaikan tinggi sebanyak 54.5 peratus.

"Kenaikan eksport yang dicatat sejak Ogos tahun lepas itu disebabkan pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas Malaysia-Turki," tambahnya.

Menurutnya, Malaysia perlu mula mencari pasaran baharu, termasuk Amerika Selatan dan Afrika bagi meningkatkan lagi prestasi dagangan. - Bernama


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "TPP: Dagangan Malaysia Dijangka Melepasi RM2 Trilion"

Post a Comment