Dadah Kelantan Semakin Serius



Penagihan dadah di Kelantan semakin serius. Jumlah penagih dadah di bawah pengawasan pada tahun lalu meningkat sebanyak 813 orang iaitu 3,239 pada tahun lalu berbanding 2014, sebanyak 2,426 orang.

Pada masa sama, jumlah penagih wanita berasal dari Kelantan yang menghuni di Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Bachok juga tinggi, iaitu 20 peratus atau 51 orang daripada 300 penghuni.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Azizan Ariffin berkata, ia adalah ancaman dan masalah yang besar kerana daripada usia yang muda lagi mereka sudah terlibat dengan dadah.

“Puspen Bachok adalah satu-satunya pusat pemulihan untuk wanita di negeri ini dan semasa lawatan saya di sana baru-baru ini mendapati ada penghuni perempuan berusia 12 tahun sedang menjalani rawatan dan pemulihan di situ.

“Penagih-penagih wanita yang kita pulihkan ada yang mengandung luar nikah, penagihan dadah menyebabkan anak-anak berkelakuan luar sedar, sebab itu kita amat mengharapkan ibu bapa mengawasi aktiviti anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah AADK sempena Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADK) peringkat negeri ini di ruang legar sebuah pusat membeli-belah di Kota Bharu, pada Ahad.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Skuad 1Malaysia AADK Kelantan, Datuk Abdul Aziz Derashid dan yang turut hadir, Pengarah AADK negeri, Ibrahim Ab. Ghani.

Sementara itu, Abdul Aziz yang juga ADUN Kuala Balah pula berkata, beliau akan mendapatkan sokongan Menteri Besar selain membangkitkan isu membanteras penagihan dadah dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mac nanti.

Beliau berkata, banyak masalah penagihan dikesan berlaku di perkampungan nelayan selain faktor negeri ini yang bersempadan dengan Thailand.

“Masalah dadah melangkaui perbezaan politik malah ada anak wakil rakyat di sini sendiri yang mati akibat ketagihan dadah.

“Pada tahun ini AADK memberi perhatian dan peruntukan yang lebih tinggi kepada Kelantan kerana peningkatan serius yang berlaku.

“Kita lihat antara punca utama penagihan adalah kerana kemiskinan terutamanya miskin tegar, pelajar yang keciciran sekolah dan keruntuhan institusi rumahtangga,” katanya.


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Dadah Kelantan Semakin Serius"

Post a Comment