Kapal Pengasas Microsoft Rosakkan Terumbu Karang


LONDON, 30 Jan — Kapal agam lagi mewah milik pengasas bersama syarikat gergasi perisian Microsoft meredah kawasan sensitif perairan kepulauan Cayman, memusnahkan sebahagian besar ekosistem perlindungan terumbu karang di situ.

Kapal MV Tatoosh sepanjang 300 kaki milik hartawan dan pendukung pemuliharaan alam sekitar Paul Allen merosakkan 14,000 kaki persegi terumbu karang di West Bay, lapor portal The Guardian kelmarin.

Kira-kira 80 peratus terumbu karang yang terletak di kawasan perlindungan itu dimusnahkan oleh rantai kapal. Difahamkan Allen tidak ada di atas kapal ketika kejadian.

Menurut kenyataan firma pelaburannya Vulcan, insiden itu berlaku pada 14 Januari lalu.

“Apabila anak kapal dimaklumkan oleh seorang penyelam yang rantai sauhnya terkena kawasan terumbu, mereka dengan segera mengubah kedudukan bagi memastikan kawasan itu dilindungi,” kenyataan itu dipetik.

Anak kapal MV Tatoosh turut membantu dalam siasatan akibat kerosakan tersebut, kata Vulcan lagi.

Insiden itu memalukan Allen kerana yayasannya selama ini menyokong pemuliharaan hidupan laut dan mengawal penangkapan ikan berlebihan.


Dengan kerosakan itu, beliau boleh didenda sehingga US$600,000 (RM2.4 juta) walaupun jumlah itu agak kecil berbanding kekayaannya yang dianggarkan US$17.4 bilion (RM72 bilion).

Dalam beberapa tahun ini, Pulau Cayman berdepan masalah dengan kapal-kapal besar.

Syarikat Carnival Cruise menyumbang sejumlah derma setelah sebuah kapalnya merosakkan sebahagian pelabuhan George Town pada 2014.

Tahun lepas, sebahagian besar terumbu karang di pulau ini dirosakkan kapal Zenith, milik syarikat pelayaran Pullmantur, tetapi tiada denda dikenakan dan tiada derma dihulurkan.

Jurucakap jabatan alam sekitar Pulau Cayman berkata pihaknya “belajar daripada pengalaman tersebut supaya dapat membuat langkah pencegahan yang lebih berkesan semasa menerima kunjungan kapal pelawat.”




Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Kapal Pengasas Microsoft Rosakkan Terumbu Karang"

Post a Comment