'Mahasiswa Perlu Kerja Untuk Dapat Duit Lebih'


PUTRAJAYA - Isu mahasiswa kebuluran kerana masalah kewangan di universiti, tidak sepatutnya timbul, tegas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. 

Menurut beliau, isu itu tidak sepatutnya timbul dan jika mereka menghadapi masalah kewangan, mereka perlu bekerja untuk mendapatkan duit lebih.

"Masalah pelajar lapar itu memang ada. Kadang-kadang saya pun lapar juga. Kadang-kadang ia bukan disebabkan duit tidak cukup dan duit itu sebenarnya ada tetapi kalau kerja dapatlah duit lebih sikit. Kalau kita kerja dan bergaul, kita dapat tahu lebih mengenai masalah-masalah yang ada dalam alam pekerjaan," katanya, lapor MalaysiaKini.

Tambahnya lagi, semasa dia bergelar sebagai pelajar suatu masa dahulu, dia banyak membuat kerja-kerja bagi menampung kos sara hidupnya. 

"Belajar sambil bekerja ini bukanlah perkara yang baru. Semasa saya belajar dulu pun buat banyak kerja. Saya pernah bekerja sebagai penghantar piza di Dominos Pizza, kerja di stesen minyak menjadi jockey. Tiada masalah untuk bekerja sebab kita akan mendapat duit lebih sikit untuk menampung pelajaran saya," katanya.

Walau bagaimanapun, Idris telah mengarahkan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEP) di setiap universiti awam dan institusi pendidikan mengenal pasti dan membantu pelajar yang memerlukan bantuan dan menegaskan bahahwa kebajikan pelajar sentiasa mendapat perhatian kerajaan.

"Nasib pelajar akan sentiasa terbela melalui Tabung Kebajikan Mahasiswa seluruh universiti awam yang berjumlah RM15 juta. Jadi, isu pelajar kebuluran ini boleh ditutup dan sepatutnya tiada isu mengenainya kerana setiap universiti mempunyai dana yang mencukupi.

"Saya juga telah meminta semua pihak universiti memastikan perkara itu tidak akan berlaku," katanya.

Idris juga menyeru semua pihak termasuk media membantu menyebarkan mekanisma kebajikan pelajar yang sedia ada wujud dan bukannya mengekploitasikan perkara yang tidak benar. - THEHYPEMEDIA.COM


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "'Mahasiswa Perlu Kerja Untuk Dapat Duit Lebih'"

Post a Comment