Kesedaran Keselamatan Masih Ditakuk Lama



KUCHING: Kesedaran pengguna jalan raya berhubung isu keselamatan masih tidak menunjukkan perubahan berikutan peningkatan statistik kemalangan pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, sebanyak 19,098 kemalangan dicatatkan di seluruh Sarawak pada tahun 2015 berbanding 17,857 kes pada 2014.
Menurut beliau, peningkatan sebanyak 6.9 peratus itu jelas tidak menunjukkan wujudnya perubahan sikap dalam kalangan pengguna jalan raya sungguhpun pelbagai kempen keselamatan serta peringatan diberikan.
Difahamkan, sebanyak 443 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan pada tahun lepas.
“Statistik kemalangan serta kematian di jalan raya masih tidak menunjukkan wujudnya perubahan sikap pengguna seperti mana yang diharapkan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ops Selamat sempena Tahun Baharu Cina di Tebingan Kuching di sini, semalam.
Aziz memberitahu, kerajaan yang memandang serius berhubung perangkaan kemalangan yang kian meningkat mengambil pelbagai langkah intervensi menggunakan pendekatan 5E.
“Pendekatan ini merangkumi aspek Pendidikan (Education), Penguatkuasaan (Enforcement), Kejuruteraan (Engineering), Persekitaran (Environment) dan Penilaian (Evaluation),” jelasnya.
Sementara itu, Aziz bercakap kepada pemberita selepas majlis itu memberitahu pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa laluan sebagai kawasan kerap kemalangan.
“Kita sudah mengenal pasti beberapa lokasi dan akan menempatkan anggota secara statik atau bergerak kerana berdasarkan pengalaman, menempatkan anggota kita di kawasan tersebut akan dapat mengurangkan risiko kemalangan.
“Justeru, sepanjang Ops Selamat kali ini yang bermula semalam (Isnin), semua anggota trafik serta Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Ronda Bermotosikal (URB) akan terlibat,” kata Aziz.
Ops Selamat yang bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ juga akan memfokuskan rondaan terutama di kawasan perumahan untuk memastikan tiada kejadian pecah rumah.
“Mereka yang ingin meninggalkan rumah semasa musim perayaan ini seharusnya melaporkan kepada mana-mana balai polis berhampiran agar anggota kita dapat menjalankan rondaan secara berkala di kawasan kediaman anda,” kata Aziz.
-Borneo Post


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Kesedaran Keselamatan Masih Ditakuk Lama"

Post a Comment