PAS Bercanggah Pendapat Tentang Deklarasi Benci Najib



KUALA LUMPUR, 7 Mac: Pemimpin PAS bercanggah pendapat sama ada ahli-ahli parti yang menyertai majlis Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diadakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu lalu, patut dikenakan tindakan ataupun tidak.

Menurut Setiausaha Agung PAS, parti akan memanggil keempat-empat ahli PAS yang menyertai majlis deklarasi tersebut untuk memberi penjelasan tujuan mereka hadir ke majlis itu sedangkan majlis tertinggi parti telah bersetuju untuk tidak menyokong agenda Dr Mahathir itu.

“Saya mengesahkan tidak ada wakil PAS dalam ‘Deklarasi Rakyat’. Mereka yang hadir mungkin atas kapasiti peribadi di mana saya akan minta penjelasan daripada mereka. Nanti kita akan buat mesyuarat dan kita tentukan bila kita akan panggil mereka untuk beri penjelasan. Bukan dalam masa terdekat.

“Saya tak kata kita akan ambil tindakan, kita cuma minta penjelasan sebab kita tak tahu kenapa mereka ada di situ. Saya sebagai Setiausaha Agung tak tahu kenapa mereka ada disitu,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mustafa Ali dan Dr Khairuddin hadir dengan keizinan Presiden

Walaubagaimanapun, kenyataan Takiyuddin ini berbeza pula dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, di mana menurutnya, sebahagian daripada pemimpin PAS yang hadir dalam majlis Deklarasi Rakyat pada Jumaat lepas adalah diizinkan dengan tujuan untuk mengambil maklumat.

“Kita (PAS) hantar wakil untuk dapatkan maklumat. Bila balik, mereka boleh beri laporan kepada kami, apa tindakan yang dibuat, apa perbincangan yang dilakukan dan apa benda gerakan yang Dr Mahathir lakukan. Jadi kita dapat maklumat yang jelas dan tepat.

“Dua orang wakil yang kita hantar adalah Datuk Mustafa Ali (Pengarah Pilihanraya PAS) dan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Ketua Penerangan Dewan Ulama),” kata Nasrudin kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tiada yang akan dikenakan tindakan

Sebelum itu pula, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad pula dilaporkan memberitahu bahawa mana-mana pemimpin PAS yang hadir ke majlis Deklarasi Rakyat tidak akan dikenakan sebarang tindakan displin kerana mereka hadir atas dasar peribadi bukan mewakili parti.

“Dia (Mustafa) pergi atas peribadi. Dia dijemput. Tiada (isu langgar disiplin). Yang dia buat tidak bertentangan apa-apa pun,” katanya dipetik dari buletinonline.

Pada Jumaat lalu, Mustafa Ali memberitahu media bahawa kehadirannya tidak mewakili PAS sebaliknya atas urusan peribadi manakala Dr. Khairuddin pula memberitahu kehadirannya mendapat keizinan daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada Khamis, Takiyuddin dalam satu kenyataan berkata PAS menolak pelawaan Dr Mahathir untuk hadir ke majlis Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib dari jawatan Perdana Menteri.

Difahamkan, tujuan parti se-Islam itu membuat keputusan tersebut adalah kerana mereka tidak pasti dengan hala tuju deklarasi tersebut dan mereka telah mempunyai pendekatan yang berbeza untuk mengubah kepimpinan negara yang ada pada hari ini.

Menurut Takiyuddin dalam kenyataan tersebut, PAS menghargai undangan daripada Dr Mahathir itu tetapi pada masa yang sama parti itu mengambil keputusan untuk menghadap Majlis Raja-Raja bagi menyembah cadangan supaya satu Suruhanjaya D’Raja dibentuk bagi mengadakan siasatan yang menyeluruh terhadap isu-isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), dana politik RM2.6 billion, skandal SRC International Sdn Bhd dan isu-isu lain yang berkaitan sebagaimana juga yang telah dititahkan oleh Persidangan Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

“PAS juga menuntut supaya Parlimen Malaysia dibubarkan segera bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi menggantikan Kerajaan Pusat hari ini yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan urus tadbir,” jelasnya.–TMT


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "PAS Bercanggah Pendapat Tentang Deklarasi Benci Najib"

Post a Comment