PMSP Mahu Mahathir dan Muhyiddin Disiasat



PETALING JAYA, 7 Mac: Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mahu polis menyiasat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan pada Jumaat lepas.

Timbalan Presiden PMSP Zakwan Hafiz Ahmad Ansari berkata Dr Mahathir dan Muhyiddin dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis menandatangani ‘Deklarasi Selamatkan Malaysia’ di Pusat Alumni Universiti Malaya itu.

“Polis perlu ambil tindakan berpandukan undang-undang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini. Turut hadir Presiden PMSP Ramesh Rao dan Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina PMSP Tony Tan.

Jumaat lepas, Dr Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 orang – termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR – memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Penandatangan lain termasuk Muhyiddin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Zakwan Hafiz berkata pihaknya mahu polis menyiasat kerana kenyataan Dr Muhyiddin itu boleh menyebabkan kecelaruan kepada masyarakat.

Sementara itu, Ramesh mendakwa pihaknya mendapat maklumat bahawa terdapat cubaan beberapa individu untuk menghasut orang ramai menyertai perhimpunan bagi mendesak Najib meletak jawatan di ibu negara pada 27 Mac ini.

“Kami terima maklumat kumpulan ini akan keluarkan dana supaya orang keluar dan berkumpul untuk desak Najib letak jawatan. Mereka akan sedaya upaya mahu huru-harakan negara dan kami minta pihak polis bersedia serta ambil tindakan segera,” katanya.

Sementara itu, di IPOH, UMNO Bahagian Gopeng menggesa kerajaan segera melucutkan kesemua jawatan Dr Mahathir dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu pengerusi Proton Holdings Bhd, penasihat Petronas dan pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana.

Ketuanya Datuk Hamzah Mohd Kasim berkata tindakan itu perlu diambil susulan

tindakan bekas perdana menteri itu yang bersekongkol dengan pembangkang untuk kepentingan peribadi.

“Kami amat kecewa sekali dengan tindakan Dr Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz dan bekas Ketua Wanita UMNO Gopeng Datuk Hamidah Osman yang menandatangani dekralasi itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, UMNO Bahagian Larut menyifatkan anggota UMNO yang menandatangani deklarasi itu sebagai ‘duri dalam daging’ dan mahu Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Disiplin UMNO mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Ketuanya Faizul Arby Mohd Shohor berkata ini kerana tindakan mereka itu bukan sahaja akan menjejaskan parti, malah kestabilan negara.

“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dan kita akan bekerja keras bagi memastikan parti UMNO terus kukuh dan berkuasa di tanah air demi membela nasib bangsa, agama dan negara,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada masa sama, Faizul Arby berkata UMNO Bahagian Larut menyokong penuh Najib untuk terus memimpin negara tanpa rasa takut dan curiga.

— Bernama


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "PMSP Mahu Mahathir dan Muhyiddin Disiasat"

Post a Comment