Anak Melecur Teruk, Ibu Saman Taska RM500,000

Gambar Sinar Harian
KOTA BHARU - Ibu bapa kepada seorang kanak-kanak yang melecur teruk akibat tersimbah sup ayam panas di sebuah taska di Jalan Telipot dalam kejadian dua tahun lalu dilaporkan mahu memfailkan saman RM500,000, lapor Sinar Harian.

Nor Ashikim Md Arifin, 30, memaklum kepada Mahkamah Seksyen Kota Bharu bahawa pengasuh taska tersebut tidak mempunyai asas pengetahuan berhubung rawatan awal kes melecur. 

Anaknya, Nur Airish Daniesya Norizal, 5, sepatutnya disiram dengan air sejuk oleh pengasuh sebaik saja kejadian itu. 

"Mereka tidak ada latihan asas bila berdepan dengan kes seperti ini dan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya bagi mengurangkan kecederaan anak saya. 

"Anak saya mengalami kecederaan yang teruk dan mendapat rawatan di Unit Kebakaran Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selama seminggu dan sehingga kini masih menerima rawatan susulan bersama pakar.  

Dalam prosiding semalam, Nor Ashikim menceritakan kembali kejadian 25 Ogos 2014. Pada jam 10 pagi, beliau menerima panggilan telefon dari suaminya, Norizal Alim, 33, yang memaklumkan bahawa anak mereka berada di Kota Bharu Medical Centre.

"Pihak hospital menolak untuk merawat anak saya dan kami terpaksa menghantarnya ke HUSM. Setibanya di HUSM, saya terkejut melihat keadaan anak saya yang sangat lemah, berbalut tuala dan melecur teruk di seluruh badan termasuk wajahnya.

"Kos rawatan sepanjang tempoh itu dianggar berjumlah RM5,000. Krim kulit berharga RM50 dibeli setiap minggu. Dia juga perlu memakai baju khas yang ditempah dengan hospital berharga RM160 yang dibasuh setiap hari bagi mengelakkan jangkitan selain dari perlu diganti setiap bulan kerana ia mudah terkoyak," katanya.

Berikutan kejadian yang menimpa anaknya itu, Nor Ashikim terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama 21 hari untuk menjaga anaknya selepas mangsa dibenarkan keluar dari hospital pada 31 Ogos 2014. 

Tambah Ashikim, kejadian yang berlaku turut memberikan kesan negatif pada anaknya di mana dia merasa rendah diri dan murung terutamanya bila ditanya rakan sebaya tentang kesan parut di badannya," katanya.

3 Disember 2014, plaintif melalui peguam cara Tetuan Rozma Baharin & Co mengemukakan saman terhadap taska tersebut dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM500,000 bagi kos rawatan, kesakitan, kesusahan serta trauma yang dialami oleh mangsa selain ganti rugi am dan teladan atas kecuaian dan kelalaian defenda dalam mengambil langkah keselamatan menguruskan taska. 

Terdahulu, dalam kejadian itu mangsa yang berusia 3 tahun 17 hari itu baru mendaftar masuk ke tadika tersebut. Ketika hendak diberi makan, sup ayam panas telah tertumpah ke atasnya dan juga seorang lagi mangsa, Nur Afiqah Mazran, 2, yang turut melecur. 

Bagaimanapun ibu Nur Afiqah, Noradillah Ismail, 37, tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap pengusaha taska tersebut. 

Perbicaraan bersambung pada 3 Februari depan. - THEHYPEMEDIA.COM


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Anak Melecur Teruk, Ibu Saman Taska RM500,000"

Post a Comment