Tabung Haji Umum Bonus 5 Peratus



Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengumumkan pemberian bonus bagi tahun kewa­ngan 2015 pada kadar lima peratus kepada 8.85 juta pendepositnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Tabung Haji turut memberi tambahan bonus haji sebanyak tiga peratus kepada 8.23 juta pendeposit atau 93 peratus daripada jumlah keseluruhan pendeposit yang masih belum menunaikan haji.

“Dengan penuh rasa kesyukuran, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Tabung Haji akan mengagihkan RM3.23 bilion sebagai hibah atau bonus kepada para pendeposit.

“Baki RM300 juta daripada jumlah keseluruhan keuntungan 2015 iaitu sebanyak RM3.53 bilion akan disimpan sebagai rizab, mengambil kira pandangan Bank Negara dan prospek ekonomi tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar Pengumuman Bonus Pendeposit Tabung Haji 2015 di Dewan Besar, Ibu Pejabat Tabung Haji, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Ismee Ismail.

Menurut Jamil Khir, meskipun dalam persekitaran yang mencabar dan tidak menentu pada 2015, prestasi kewangan Tabung Haji kekal berdaya tahan dengan rekod pendapatan sebanyak RM4.47 bilion dan keuntungan bersih selepas zakat berjumlah RM3.53 bilion.

Beliau berkata, dengan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding keuntungan bersih selepas zakat pada 2014 berjumlah RM2.98 bilion, keuntungan pada 2015 merupakan yang tertinggi sejak 52 tahun Tabung Haji beroperasi.

“Hasil strategi alokasi aset, pengurusan risiko, tadbir urus yang baik serta pelaburan yang berhemah secara langsung dan tidak langsung dalam pelbagai sektor industri, Tabung Haji terus berjaya menjana pulangan yang mampan,” katanya.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, semua pendeposit perlu memperbetulkan persepsi bahawa pemberian hibah tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan dikira sebagai ‘urf’ atau kebiasaan.

Ujar beliau, ini kerana amalan tersebut boleh terjerumus ke dalam riba yang diharamkan syarak sekali gus menjadikan pulangan itu tidak bersih.
“Saya perhatikan setiap tahun rata-rata pendeposit mengambil pendekatan bahawa hibah ini wajib dibayar. Walaupun amalan ini dibenarkan, namun ia tidak boleh dijadikan amalan tetap.

“Hibah atau hadiah yang diberikan kepada pendeposit adalah berdasarkan prestasi kewangan tahunan semasa dan mengikut budi bicara Tabung Haji,” ujarnya.
Sementara itu, dalam sidang akhbar berasingan, Abdul Azeez memberitahu bahawa bonus tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun pendeposit bermula 10 Februari ini.

- See more at: http://ift.tt/1R6NHOi


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Tabung Haji Umum Bonus 5 Peratus"

Post a Comment