Politik Di Sarawak Berasas Pembangunan



SADONG JAYA:Politik di Sarawak adalah politik pembangunan kerana dari semasa ke semasa ia sentiasa mempunyai keperluan kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri semalam.

Beliau menyifatkan bahawa rakyat tidak mahu melayan politik remeh-temeh pembangkang di kawasan Batang Sadong kerana mereka (pembangkang) tidak memahami sensitiviti penduduk setempat.

“Kami akan perjuangkan pembangunan ke peringkat negeri dan meminta sokongan daripada pihak persekutuan kerana pembangunan merupakan keperluan kami di sini.

“Justeru, pihaknya akan sentiasa membuat permohonan peruntukan dari semasa ke semasa bagi melaksanakan pembangunan di sini,” katanya ketika berucap pada Majlis Berambeh Bersama Rakyat di Rumah Panjang Sungai Buloh, Batang Sadong, semalam.

Tegasnya, pembangkang tidak tahu menghormati perasaan penduduk setempat dengan kata-kata mereka yang tajam bahkan juga langsung tidak memahami pergaulan rakyat di sini.

Batang Sadong mempunyai 21,613 pengundi berdaftar dan kebanyakan penduduk setempat bekerja sebagai petani dan nelayan bagi menyara kehidupan mereka.

Beliau turut mengiringi Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersama agensi-agensi awam ke 89 pintu Rumah Panjang Sungai Buloh di Sadong Jaya, semalam.

Pada masa yang sama, Tuai Rumah Rumah Panjang Sungai Buloh Sili Bunsi berkata penduduk di sini menolak pembangkang mentah-mentah.

“Mereka hanya datang sewaktu pilihan raya sudah hampir tetapi apabila hari biasa tidak pula mereka datang dan menjenguk kami dan tidak juga masalah kami di kawasan pedalaman dibantu mereka.

“Kami tidak akan tertipu dengan mereka, BN dan Ketua Menteri memang sentiasa memperjuangkan hak rakyat dan berharap lebih banyak pembangunan dilakukan di sini.

“PKR dan PAS kononnya mahu bertanding di sini dan menipu rakyat tetapi sokongan rakyat di sini hanyalah untuk BN khususnya PBB dari dahulu lagi,” katanya.

Tambah Sili, parti pembangkang suatu ketika dahulu pernah menyebut bahawa hanya mereka yang bercawat sahaja yang menyokong BN sudah menunjukkan mereka tidak menghormati rakyat di sini.

Rakyat di kawasan pedalaman kini sudah moden dan berpendidikan dan kita tahu pembangunan itu sememangnya datang daripada kerajaan BN, tegasnya.


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Politik Di Sarawak Berasas Pembangunan"

Post a Comment