Legasi Tun Razak



DALAM pembentukan Kabinet awal selepas merdeka, Tun Razak dipertanggungjawabkan dengan tugas sebagai Menteri Pelajaran dan kemudian Menteri Pembangunan Luar Bandar. Kedua-dua jawatan tersebut sangat disayangi beliau. Pengalaman zaman kanak-kanak yang memaksa beliau berkaki ayam ke sekolah membuatkan beliau amat bersimpati dengan penduduk luar bandar.

Berbeza dengan sekarang,
salah satu daripada perkara yang menjadi masalah pada tahun 1960-an dan 1970-an ialah cara mengelak penduduk luar bandar daripada berhijrah ke kota untuk mencari pekerjaan. Keutamaan dan penekanan diberikan oleh Tun Razak ialah pembangunan luar bandar. Beribu-ribu ekar tanah baru dibuka. Kelompok penduduk luar bandar dipindahkan ke tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Ramai daripada mereka yang tidak memiliki tanah telah diberikan tanah untuk diusahakan dan menjadi pekebun kecil agardapat memperbaiki kehidupan masing-masing. Hari ini, ada pekebun kecil berjaya menjadi jutawan apabila mereka menjual tanah untuk pembangunan industri.

DASAR PEMBANGUNAN
Pengaruh dan visi Tun Razak terhadap pembangunan negara adalah berasaskan konsep perpaduan kebangsaan. Kesan visi ini masih kekal sampai sekarang. Nama Tun Razak dikaitkan dengan beberapa dasar pembangunan negara sampai sekarang. Apabila kita menyebut Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB), nama Tun Razak akan disebut-sebut.

Bahkan bagi orang yang masih mengetahui sumbangan Tun Razak yang lebih luas, apabila menyebut tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dasar pembangunan luar bandar dan pembangunan bandaran, nama beliau juga sering diingati.

Dalam ucapan Tengku Razaleigh Hamzah pada Seminar Legasi Tun Razak Kepada Pembangunan Negara anjuran Akademi Pemuda UMNO pada Jun 2007, beliau berkata Parti Barisan Nasional yang ada sekarang ialah hasil visi perpaduan politik kebangsaan Tun Razak. Pada zaman beliau perang mulut dan konfrontasi politik antara parti orang Melayu-Islam agak dingin, tidak sentiasa panas dan bergelora seperti hari ini, kerana Razak membawa masuk Pas ke dalam Barisan Nasional.

Tujuannya untuk mengukuhkan perpaduan bangsa Melayu sebagai asas perpaduan kebangsaan atau perpaduan negara.
Dalam tahun 1969/1970, setelah berlaku Peristiwa 13 Mei, kerajaan di bawah Pentadbiran Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)yang diketuai oleh Tun Razak sebagai Pengarahnya, telah mengambil beberapa tindakan dan menggubal beberapa dasar untuk mengukuhkan lagi asas perpaduan kebangsaan.

Sekolah Jenis Kebangsaan aliran bahasa Inggeris diubah tarafnya kepada Sekolah Kebangsaan. Ini bererti semua sekolah aliran bahasa Inggeris (warisan zaman British) mulai menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utamanya,dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat Tingkatan VI (STPM). Sebenarnya perubahan taraf ini, pada beberapa mata pelajaran, sudah dimulai sebelum tahun 1970. Perubahan taraf ini dilakukan berdasarkan peruntukan Akta Pelajaran 1961 yang membenarkan kerajaan mengambil tindakan atau keputusan itu.

Tun Razak menggunakan kesempatan itu untuk meneruskan visinya untuk membina dan memperkukuh perpaduan kebangsaan sebagai asas pembangunan bangsa dan negara pelbagai kaum. Kali ini beliau membina perpaduan kebangsaan itu melalui suatu sistem atau model pembangunan ekonomi yang dianggap adil kepada semua kaum; beliau tidak mahu ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme menjadi punca perpecahan kaum.

Tun Razak memilih suatu model ekonomi yang tidak terlalu diserahkan kepada kuasa-kuasa pasaran yang selalunya bersifat manipulatif atau eksploitatif dan monopolistik jika tidak dikawal oleh kerajaan, beliau mahu sistem itu diimbangi dengan intervensi corrective kerajaan.

Tujuannya untuk merapatkan jurang perbezaan kekayaan ekonomi antara orang Melayu, penduduk majoriti Tanah Melayu,dengan kaum-kaum lain.

DASAR PELAJARAN KEBANGSAAN
Pada mulanya orang bukan Melayu mencurigai 'agenda' atau tujuan Dasar Pelajaran Kebangsaan wawasan Tun Razak, walaupun dasar itu diputuskan melalui muafakat antara semua kaum yang duduk dalam Jawatankuasa Pelajaran Razak (1955/56). Mereka menganggap dasar itu sebagai dasar Melayu atau dasar untuk menguntungkan bangsa Melayu sahaja.

Kaum bukan bumiputera sebenarnya berfikir berdasarkan sentimen dan kepentingan etniknya sendiri, tidak berdasarkai kepentingan negara, atau mereka menganggap dasar yang lama lebih baik untuk pembangunan negara pelbagai etnik selepas merdeka.

Bagaimanapun, akhirnya merek menyedari bahawa sangkaan itu tidak benar. Tidak ada apa-apa agenda sulit di sebalik dasar itu. Itu bukan dasar pelajaran Melayu, tetapi dasar pelajaran kebangsaan negara untuk kepentingan semua rakyat, tidak kira keturunan etnik.

Buktinya ialah, statistik sejak akhir tahun 1980-an menunjukkan bahawa bilangan pelajar bukan Melayu yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang mendapat Ijazah Kelas Pertama di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lebil 70 peratus adalah pelajar bukan Melayu. Itu salah satu buktinya.

Rata-rata pelajar bukan Melayu lebih cekap bahasa Melayunya daripada pelajar Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa dasar pelajaran kebangsaan itu tidak bertujuan merugikan orang bukan Melayu.

Dua lagi 'kebaikan' dasar pelajaran kebangsaan ala-visi Tun Razak ini. Pertama, dasar ini tidak menghapuskan bahasa Inggeris malah menjadikan bahasa 'bekas penjajah' ini sebagai mata pelajaran wajib di semua sekolah, termasuk sekolah kebangsaan.

Kedua, sekolah Cina dan sekolah Tamil dikekalkan, tidak dihapuskan. Yang dihapuskan ialah 'Sekolah Melayu', digantikan dengan sekolah kebangsaan untuk semua kaum, bukan untuk bangsa Melayu sahaja. Dari segi ini nampaknya orang Melayu lebih banyak berkorban atau bertolak ansur berbanding dengan kaum- kaum lain.,

Jadi, itulah asas atau kriteria yang digunakan oleh Tun Razak untuk membentuk dasar pelajaran kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai alat pengantar utamanya. Dan itulah dasar atau model yang diluluskan oleh Parlimen, dan dari segi prinsipnya tidak berubah sampai sekarang. Yang berubah ialah beberapa keputusan pentadbiran (keputusan eksekutif) kerajaan di peringkat pelaksanaan yang melemahkan dasar pelajaran asal Tun Razak.

Bagusnya dasar Tun Razak itu, sepanjang pemerintahan British di Tanah Melayu, tidak ada seorang pun orang Melayu yang menjadi sarjana, profesor; ahli sains, ahli matematik, pakar perubatan dan pakar dalam bidang-bidang lain yang terdidik dalam bahasa Melayu.

Tiga dekad selepas dasar kebangsaan ini dilaksanakan,
kita berjaya menghasilkan ribuan pakar, sarjana, profesor dan ahli profesional dalam pelbagai bidang ilmu, baik orang Melayu mahupun bukan Melayu, yang terdidik dalam bahasa Melayu, dan tidak kurang ada daripada mereka yang bertaraf antarabangsa. Terima kasih kepada Tun Razak dan kepada mereka yang mendukung wawasannya.


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Legasi Tun Razak"

Post a Comment