Masyarakat Haiti Hidup Sengsara Akibat Gempa Bumi

Keadaan Selepas Gempa Bumi Di Haiti Pada 12-1-2010-



“TANGGAL 12 Januari merupakan tarikh keramat dalam kamus hidup saya. “Walaupun tiada seorang pun ahli keluarga yang terkorban, namun saya kehilangan ramai kenalan,” kata Lubin Josiane.

Josiane, 32, merupakan salah seorang daripada lebih sejuta penduduk Haiti yang menjadi mangsa gempa bumi pada 2010.

Gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter yang berlaku di Haiti itu mengorbankan le­bih 200,000 orang penduduk.

Ekoran daripada peristiwa gempa bumi yang terbesar pernah berlaku di negara berkenaan, lebih sejuta penduduk kehilangan tempat ber­teduh sehingga memaksa mereka tinggal di tepi jalan selain membina rumah daripada kain, kotak serta tin kosong.

Selasa lalu, genap enam tahun tragedi hitam yang berlaku dalam kamus hidup masyarakat Haiti.

Tidak cukup dengan gempa bumi, mereka turut diuji dengan penularan wabak taun yang membunuh 8,000 penduduknya.

Wabak tersebut dipercayai menular di kawasan berkenaan ekoran faktor kebersihan kawasan persekitaran yang tidak memuaskan.

Biarpun telah enam tahun berlalu, namun ­in­ga­tan masyarakat Haiti terhadap tragedi ­menyayat hati itu tidak pernah luntur, malah ramai yang mengakui bahawa peristiwa tersebut sering menghantui jiwa mereka sehingga menjadi bayang-bayang hitam dalam kehidupan seharian.

Tempoh enam tahun selepas tragedi tersebut telah membawa banyak perubahan terhadap negara Caribbean itu.

Jika dahulu negara tersebut musnah dan hanya dipenuhi dengan longgokan batu-bata daripada runtuhan dinding-dinding bangunan, namun pemandangan tersebut kini berubah selepas deretan bangunan baharu didirikan.

Sebagai contoh, bangunan bersejarah Iron Market di pusat bandar Port-au-Prince yang dahulunya musnah akibat gempa bumi kini dibangunkan semula dengan bangunan baharu berwarna-warni dan pembinaan menara jam.

Bagaimanapun, di sebalik pembangunan yang rancak dijalankan itu, ribuan penduduk­nya dikatakan masih menderita dan terpaksa berhempas-pulas untuk meneruskan kehidupan seharian.

Pembangunan semula

Pertubuhan Antarabangsa Bagi Migrasi mela­porkan bahawa walaupun 94 peratus daripada penduduk telah meninggalkan kem perlin­dungan, namun hampir 80,000 penduduk Haiti masih hidup tanpa kediaman yang selesa.

Biarpun berbilion dolar diterima daripada penderma luar sejak berlaku­nya bencana besar di negara itu, namun sehingga kini beberapa kawasan di Haiti masih berada dalam keadaan daif berikutan pembangunan semula yang perlahan.

Menurut seorang wartawan daripada sebuah stesen televisyen di Amerika, Clarens Renois, walaupun beberapa buah bangunan di Haiti sedang dibangunkan, namun kebanyakan kawasan masih berada dalam keadaan yang daif.

“Keadaan persekitaran kelihatan terlalu mundur manakala jalan rayanya juga tidak terurus. Bukan itu sahaja, banyak bangunan yang dibina dibuat separuh jalan atau dibiarkan terbengkalai. Perkara ini terjadi mungkin disebabkan oleh perancangan yang lemah,” jelasnya.

Kekurangan dana daripada pihak kerajaan menyebabkan mereka tidak boleh membantu penduduk untuk membina semula kediaman yang musnah akibat gempa bumi ­dahsyat itu.

Masalah tersebut lantas menyebabkan ramai penduduk Haiti mengambil keputusan untuk mogok dan membina semula kediaman menggunakan kotak di tempat-tempat awam.

Menurut seorang penduduk, D. Blanc, 54, disebabkan tiada bantuan yang disalurkan oleh kerajaan, mereka terpaksa bekerja keras dan mengumpul wang untuk membina semula ke­diaman yang musnah dalam kejadian enam tahun lalu itu.

“Ada antara penduduk Haiti terpaksa lari ke sebuah bukit lapang di utara bandar Port-au-Prince untuk berteduh dan menjadikan kawasan tersebut sebagai kediaman baharu mereka.

“Ada juga sebahagian daripada kami membuat perkampungan kecil di lereng bukit Canaan. Bagaimanapun, disebabkan kerajaan melarang sebarang pembinaan penempatan di kawasan tersebut, mereka mengambil keputusan untuk merempat di tepi jalan dan mendiami rumah-rumah kotak,” jelasnya.

Sebahagian daripada penduduk Haiti meneruskan kehidupan harian dengan menjalankan perniagaan kecil seperti khidmat gunting rambut, menjual makanan, tiket loteri dan kedai perkakas rumah.

Ikat perut merupakan perkara yang biasa dilalui oleh penduduk kerana kesempitan hidup yang dihadapi.

Menurut Michel Monel Similien, 40, walaupun dia mengusahakan kedai menjual roti, namun dia sekeluarga masih hidup dalam keadaan susah kerana hasil jualan yang tidak seberapa.

Lebih menyedihkan apabila kebanyakan kanak-kanak di sana bersekolah tanpa dibekalkan wang saku setiap hari.

“Apa yang lebih penting pada saat ini ialah aspek kewangan kerana rata-rata penduduk Haiti dibelenggu masalah kemiskinan dan memerlukan bantuan untuk memulihkan kehidupan selepas berlakunya bencana besar enam tahun lalu,” jelasnya.



Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Masyarakat Haiti Hidup Sengsara Akibat Gempa Bumi"

Post a Comment