Nasi Goreng RM1



MELIHATKAN kebanyakan harga makanan dijual dengan harga tinggi kepada kanak-kanak sekolah kini, memberikan idea kepada seorang wanita untuk menjual nasi dan bihun goreng berharga RM1 sebungkus.

Norazlina Mohamad, 38, berkata, dia mula menjual pada harga tersebut awal Januari lalu di kedainya berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai.

Menurutnya, setelah lebih sebulan beroperasi, kedainya bukan sahaja mendapat sambutan murid sekolah malah pekerja yang berpendapatan rendah dan sederhana turut tertumpu di kedainya.

“Alhamdulillah, sambutan diterima begitu menggalakkan. Harga rendah menyebabkan nasi dan mihun saya jual sentiasa habis,” katanya.

Ibu empat anak ini berkata, walaupun dijual pada harga RM1 sebungkus, dia masih mendapat keuntungan.

Katanya, jumlah jualan yang banyak menyebabkan dia tidak menanggung rugi.

“Walaupun untung tidak banyak, saya gembira kerana dapat membantu golongan berpendapatan rendah khususnya yang berada sekitar bandar Kuala Krai,” katanya.

Wanita yang mula berniaga aneka makanan sejuk beku sejak 2008 ini gembira apabila mendapat tahu ada pelanggannya sanggup datang dari jauh untuk membeli mihun dan nasi gorengnya.

“Pekerja pasaraya dari daerah ini sanggup datang kerana harga rendah membolehkan mereka menjimatkan perbelanjaan harian masing-masing,” katanya yang berhasrat menjual sate pada sebelah malam tidak lama lagi.


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Nasi Goreng RM1"

Post a Comment