Azwan Ali Siapkan Peguam Lawan Syarikat Kicap



19 Jan — Selebriti hiburan Azwan Ali mempertahankan tindakannya menghasilkan dan memuat naik video parodi berkaitan iklan produk tempatan, Kicap Tirana di akaun Instagramnya, @divaazwanavazz.

Azwan berkata, beliau akan melantik dua peguam untuk berdepan tindakan undang-undang selepas Tirana Products Sdn Bhd menyerahkan notis tuntutan supaya permohonan maaf bertulis dibuat di sebuah akhbar tempatan dan menarik semula kenyataan dan video yang dimuat naik, sebelum 26 Januari ini.

“Yang saya katakan itu tentang iklan, bukan produk, saya berpegang teguh bahawa sebagai seorang yang cukup berpengalaman saya mempertahankan hak untuk memberi komen tentang semua iklan, rancangan televisyen tanpa was-was,” katanya dipetik laporan Sinar Online hari ini.

Azwan sebelum ini telah memuat naik klip video iklan Kicap Tirana dan satu video parodi yang memaparkan dirinya menuang kicap berlebihan ke atas satu hidangan sambil meniru loghat percakapan model yang terlibat dalam iklan tersebut.

Iklan asal kicap tersebut juga menampilkan selebriti berambut perang Mia Marine dan Datuk Aznil Nawawi, yang sebelum ini pernah bertegang urat dengan Azwan.

Akaun Instagram Azwan tidak dibuka kepada orang ramai dan ProjekMMO tidak dapat mengesahkan samada video parodi tersebut masih berada di akaun beliau.

Pemilik syarikat, Dr Hilmi Murad Mohamed berkata tindakan Azwan memberi impak buruk kepada syarikat dan berharap Azwan dapat mengambil langkah untuk menjernihkan kembali keadaan.

“Komen-komen yang diberikan agak pedas dan agak melampau. Kalau pun iklan saya itu teruk, tetapi ada cara untuk kita tegur. Tegur dengan cara beradab, kita orang Melayu dan kita beragama Islam,” katanya.



Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Azwan Ali Siapkan Peguam Lawan Syarikat Kicap"

Post a Comment