'Mereka Mengekori & Mengugut Nak Tarik Kereta Kami'


Salam warga Putrajaya. Semalam (15 Januari 2016) tengah hari, saya dengan suami nak pergi jemput anak di sekolah Presint 5. Tiba-tiba suami perasan yang kereta kami diekori. 

Tak sedap hati, dia buat pusing U banyak kali tetapi kereta itu masih juga mengekori kami. Tiba-tiba kereta itu memintas kami dan meminta kami berhenti dan pada ketika itu kami berada di depan sekolah Presint 5. 

Apa yang kami perasan, kereta Proton Saga nombor pendaftaran BKA 8550. Ada empat lelaki berbangsa India keluar dan menyatakan bahawa mereka mahu menarik kereta kami.

Mereka mula mengertak kami dan meminta kami keluar dari kereta. Tetapi disebabkan ada anak-anak memang pintu sentiasa dikunci. 

Saya meminta surat dari pihak bank yang membenarkan mereka menarik kereta kami, tetapi mereka gagal menunjukkan surat yang dipinta. Menurut salah seorang dari mereka, pihak bank telah menghubungi mereka dan meminta mereka terus menarik kereta kami. 

Saya terus membuat panggilan polis. Dalam menunggu polis hadir di tempat kejadian, mereka terus mengugut kami lagi. Mereka tunjukkan kad kuasa tetapi apa yang saya perasan, kad kuasa itu telah tamat tempoh. 

Saya ambil telefon dan rakam gambar mereka membuatkan mereka marah dan mahu mencabut pintu kereta. 

Tidak beberapa lama kemudian, polis menghubungi saya dan mengatakan mereka telah berada di kawasan berhampiran. Serta merta sekumpulan lelaki India itu terus melarikan diri.

Polis tiba di tempat kejadian, namun mereka sudah tiada. Polis mengambil laporan dan meminta kami berhati-hati di masa akan datang. Katanya ada juga kes seperti ini berlaku sebelum ini.

Apa yang saya risaukan ialah, kalau saya memandu seorang diri pada ketika itu dengan anak-anak. Kawan-kawan pun ada yang memandu sendiri. Kalau saya yang memandu tadi, mungkin saya tak perasan pun kereta saya diekori. 

Ekoran kejadian itu, suami saya menghubungi pihak bank dan dimaklumkan bahawa tiada masalah untuk bayaran kereta kami. Jadi benarlah yang sekumpulan lelaki itu bukan dari pihak bank tetapi mereka berkemungkinan mahu mencuri kereta kami. 

Jadi kawan-kawan semua, berhati-hati dan jangan cepat panik. - Adilla Rashid | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "'Mereka Mengekori & Mengugut Nak Tarik Kereta Kami'"

Post a Comment