Bayi Maut Kemalangan Melibatkan 6 Kenderaan


16 Jan — Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut manakala bapanya cedera dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 55.8 Jalan Mersing-Batu Pahat, Kluang di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham berkata bayi itu, Nur Muhris Anas Anuar yang cedera parah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kluang.

Bapanya, Anuar Geman@Wagiman, 36, pula dilaporkan cedera ringan manakala pemandu kenderaan lain pula terselamat.

Mohamad Laham berkata kejadian berlaku kira-kira 11.50 pagi apabila lori tanpa muatan yang dipandu seorang lelaki tempatan menghala ke arah Mersing.

Lori itu dikatakan melanggar belakang kereta Toyota Vios sebelum cuba mengelak ke kiri jalan namun gagal berbuat demikian akibat masalah brek.

Ia kemudian terbabas ke kiri jalan dan melanggar pula kereta yang dinaiki Nur Muhris dan bapanya yang pada ketika itu secara kebetulan berhenti di bahu jalan, sebelum ia melanggar tiga lagi kenderaan lain yang diletakkan di hadapan sebuah kedai perkakas rumah.

“Akibat pelanggaran itu, Nur Muhris tersepit dalam kereta dan cedera parah.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kluang tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.

Mohammad Laham berkata pemandu lori berusia 33 tahun itu telah ditahan dan akan direman esok mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana cuai mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan. — Bernama


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Bayi Maut Kemalangan Melibatkan 6 Kenderaan"

Post a Comment