Maut Ketika Menyusu Dilangar Lori Pasir


Ketika kejadian saya baru memberhentikan kenderaan di situ, manakala arwah anak sedang menyusu di pangkuan isteri," kata Anuar Wagiman, 36, bapa kepada seorang bayi lelaki berusia lapan bulan yang maut selepas kende­raan dinaiki dirempuh sebuah lori pasir, di Kilometer 55.8 Jalan Mersing Batu Pahat, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu di persimpangan lampu isyarat Kluang Baru, anak bongsunya Nur Muhris Anas tercampak ke bahagian cermin hadapan selepas kenderaan dinaiki bersama ahli keluarganya dirempuh sebuah lori mengakibatkan mangsa cedera di kepala.

Kemalangan itu turut mengakibatkan Anuar, isteri Masturi Abdullah, 34, dan seorang lagi anak lelakinya berusia lima tahun, Nur Muizudin Anas, cedera selepas kereta jenis Honda City yang di naiki dirempuh lori pasir mengakibatkan kenderaan itu terbalik.

Anuar berkata, pada mulanya dia mahu mendapatkan alat ganti kenderaan dan memakir di lokasi kejadian, sementara membiarkan anak bongsunya menyusu di dalam kereta.

"Belum sempat keluar untuk membeli alat ganti kenderaan, saya tergamam apabila sebuah lori pasir tanpa muatan yang dipandu oleh seorang lelaki tiba tiba merempuh bahagian belakang kereta menyebabkan kenderaan kami berpusing dan terbalik.

"Akibat rempuhan itu, Nur Muhris terlepas daripada pegangan isteri sebelum tercampak ke cermin hadapan menyebabkan dia cedera di bahagian kepala akibat selepas terkena hentakan kuat keatas objek keras," katanya ditemui semalam.

Katanya, pandangannya kabur seketika sebelum melihat orang ramai datang untuk memberikan pertolongan.

"Saya bagaikan tidak sedar apa berlaku dan melihat orang ramai membantu saya dan keluarga un­tuk keluar dari kereta yang terbalik kerana khuatir kenderaan kami terbakar.

"Sebaik menyedari kecederaan anak, saya memeluknya dan cuba menenangkan diri sebelum dihantar oleh seorang pengguna jalan raya ke Hospital Eche Besar Hajjah Kalsom (HEBHKK) Kluang," katanya.

Menurut Anuar, hatinya bimbang selepas mendapati anaknya longlai dalam pelukan dan panik apabila bayi berkenaan tidak memberikan reaksi ketika namanya dipanggil berulang kali.

"Saya sebut namanya, namun tidak ada reaksi diterima dan se­baik sampai di hospital, luluh hati saya apabila diberitahu anak saya sudah tidak bernyawa dan tidak dapat diselamatkan lagi, sehingga merasakan dunia saya gelap seketika," katanya.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd Alkasah Mohamad, 30, yang berada berhampiran lokasi kejadian berkata dia melihat lori terbabit bergerak laju walaupun pada ketika itu lampu isyarat sudah bertukar merah.

"Akibat dipandu terlalu laju, saya melihat pemandu itu tidak sempat memberhentikan lorinya sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kereta To­yota Vios dihadapannya dan mengelak ke kiri jalan.

"Mungkin dia menyangka penghadang jalan itu dapat menghalang lori itu daripada merempuh kenderaan lain menyebabkan pemandu lori terbabit membelok ke kiri jalan sedang kan ketika itu orang ramai berada di sekitar kawasan kemalangan," katanya.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Muhamad Laham berkata kejadian dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu lori pasir berusia 33 tahun mengawal kenderaannya yang dipandu dari arah bandar Kluang menghala ke Mersing.

Katanya, kenderaan itu hilang kawalan selepas melanggar bahagian belakang sebuah kereta Toyota Vios di hadapannya.

 Katanya, pemandu lori itu cuba mengelak dengan membelok ke kiri jalan sebelum melanggar kenderaan dinaiki mangsa bersama keluarganya yang diletakkan di tepi jalan dan beberapa buah kereta lain berhampiran tempat kejadian.

"Akibat daripada rempuhan itu, kereta mangsa berpusing dan terbalik menyebabkan bayi berkenaan terlepas daripada pegangan ibunya dan tersepit di bahagian kepala seterusnya mengalami kecederaan parah.

"Usaha orang ramai membantu dengan membawa mangsa ke (HEBHKK) tidak berhasil apabila disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya dihubungi untuk mengesahkan keja­dian itu.

Muhamad berkata, bapa mangsa serta ibu dan abangnya hanya me­ngalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.

"Jenazah Nur Muhris Anas selesai dibedah siasat sebelum dibawa pu­lang oleh ahli keluarga untuk pengebumian di Tanah Perkuburan Islam di Simpang Renggam.

"Siasatan awal mendapati ke jadian berpunca daripada kecua ian pemandu lori dalam mengawal kenderaannya selain mempunyai masalah brek yang tidak berfungsi sehingga berlaku kemalangan maut terbabit," katanya.

Menurut Muhamad, pemandu lori pasir itu kini ditahan untuk siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Metro Ahad-17-1-2016


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Maut Ketika Menyusu Dilangar Lori Pasir"

Post a Comment