Lori Gula Terbalik Jalan Sesak

Gambar Tiada Kaitan Dengan Artikel ini-

SHAH ALAM 16 Jan. - Sebuah lori kontena membawa muatan gula terbalik berdekatan Lebuh Raya Guthrie menyebabkan kesesakan lalu lintas kira-kira tiga kilometer dari arah Shah Alam, hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian pada pukul 10.56 pagi itu, pemandu, B. Hemavidhyan, 24, serta pembantunya terselamat dan tidak mengalami kecederaan yang serius.
Difahamkan, lori kontena tersebut hilang kawalan ketika melalui satu selekoh lalu terbalik dan menyebabkan kesesakan lalu lintas selama lima jam sebelum dialihkan dan sisa tumpahan gula dibersihkan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati pemandu serta rakannya telah keluar dari lori tersebut.
“Pihak bomba mendapati kedua-duanya selamat namun pemandu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan beberapa bahagian di badan.
“Maklumat awal mendapati, pemandu terbabit gagal mengawal kenderaan lalu terbabas berdekatan persimpangan keluar Bukit Jelutong,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Sani, sehingga pukul 4 petang, keadaan lalu lintas masih lagi sesak akibat kerja mengalihkan sisa tumpahan.
Dalam kejadian itu, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik yang terdiri daripada seorang pegawai dan lima anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian.-UTUSAN ONLINE


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Lori Gula Terbalik Jalan Sesak"

Post a Comment