'Saya OKU, Saya Suka Buat Topi'


MAN, SENYUMAN DAN TOPI

Dia duduk berhadapan dengan saya dalam gerabak LRT. Topinya menarik perhatian lalu saya teliti wajahnya. Ingatan lama menerpa.

Semasa remaja saya pernah beberapa kali melihatnya (yang juga remaja ketika itu) merayau-rayau dengan baju kemas masuk ke dalam seluar pendek dan kadangkala bertopi. Dia kurus tinggi dan pemurah dengan senyuman. Saya hanya berani melihatnya dari jauh kerana usia muda adalah ladang prasangka - mungkinkah dia tidak betul, adakah dia akan menyerang saya? Dan kemudian saya berpindah tempat, larut dalam kedewasaan dan sudah tidak melihatnya lagi.

Hari itu pada 28 Disember 2015, selepas hampir dua dekad, ketika duduk dalam gerabak yang sama, saya beranikan diri menegur. "Cantik topi awak." Dengan bersemangat dia kata, "Saya buat sendiri ni!". "Saya sangat suka topi. Saya selalu buat macam-macam topi."

Di kepalanya ada sebuah topi kadbod bercorak buatan tangan. Ia dilukis dan diwarnakan dengan warna poster serta dicantumkan dengan pita pelekat. Dia memakainya dengan bangga.

Kami berbual. Dia kata dia OKU. Dia mahu ke Kompleks Pertama. Dia kerap ke situ untuk minum dengan kawan-kawan sebelum berjalan-jalan dan pulang ke rumah. Ibunya menyara hidup dengan menjaga anak-anak orang. "Dulu budak lain, tapi dah tukar. Budak-budak dulu dah tak ada." dia menjelaskan tanpa ditanya.

"Mungkin budak-budak itu sudah besar, tidak perlu tinggal dengan penjaga lagi." Saya cuba memberi pandangan yang mungkin tidak tepat. Yang pasti, dia kurang memahami lalu sengih lagi dan memberitahu, "Sekarang rumah flet kami tu dah beli. Dulu tak. Sekarang rumah sendiri. Rumah beli." Dia sangat gembira berkongsi fakta ini.

Bersama dengannya ialah satu beg plastik yang berisi kadbod, buku tulis dan alatan mewarna. Tanpa dipinta dia keluarkan seikat kad dan tunjukkan pada saya kad yang atas sekali. Di kad OKU itu tercatat namanya, Mohamad Khairi. Lahir tahun 1978. "Tapi nama glamer saya, Man." Senyuman Man manis, jernih tanpa sebarang lapis.

Man menunjukkan halaman buku tulisnya. Satu contengan awan larat dilukis kemas dengan pen biru. 

"Ini corak topi saya yang baru. Esok saya nak buat."

"Man, awak sangat kreatif." Dia memusingkan kepala supaya saya dapat meneliti corak yang dilukis dan diwarnai dengan tangannya sendiri. Bentuk dan warnanya konsisten pada setiap sisi. Saya kagum. "Berbakat betul Man buat topi. Cantik dan menarik."

"Saya memang suka topi. Suka sangat. Saya buat banyak topi. Saya OKU tapi saya suka buat topi." Man seronok berbual tentang topi dan kerap mengulang status OKUnya. Mungkin dia diajar begitu supaya tidak disalah sangka oleh masyarakat.

Bila LRT kami melintasi sebuah sekolah khas di Jalan Sultan Ismail, Man teruja menunjukkan sekolah itu. "Itu sekolah saya! Saya sekolah di Bandar Baru Sentul lepas tu saya sekolah sini sampai Tingkatan 6, orang biasa dah habis saya sekolah lagi." "Hahahaha." Ada sesuatu yang lucu tentang zaman sekolahnya, mungkin.

Man senyum bila saya kata mahu mengambil gambarnya. "Masuk dalam internet ke nanti?"

"Boleh ke? " Saya tanya kembali.

"Boleh! Tapi saya tak ada Facebook. Saya OKU!" Man ketawa dan senyum bersedia. KLIK! KLIK! KLIK!

LRT tiba di perhentian Man, dia keluar dan berdiri di stesen mengadap tren LRT hingga pintu tertutup. Dia melihat saya yang sedang melihat dirinya. Saya lambai tangan. Dia lambai kembali dan senyum gembira. LRT berlalu dan kami meneruskan perjalanan masing-masing.

Senyuman Man manis. Man bahagia dengan topi-topinya dan saya bahagia melihat kebahagiaannya. -Emoqwin Menulis | THEHYPEMEDIA.COM


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "'Saya OKU, Saya Suka Buat Topi'"

Post a Comment