Maut Kereta Terbakar

BAU: Polis sedang menyiasat penemuan mayat rentung di tempat duduk belakang sebuah pikap jenis Mitsubishi Triton yang terbakar berdekatan sebuah kuari di Jalan Batu Kitang-Bau, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh ekoran terdapat unsur jenayah dan penemuan beberapa tompokan darah berhampiran tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan oleh anggota serta pegawai dari cawangan JSJ dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sedang giat dijalankan di tempat kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan terlebih dahulu kita akan mengenal pasti pemilik pikap jenis Mitsubishi Triton dipercayai berwarna putih tersebut.

“Selain itu, terdapat juga penemuan beberapa tompokan darah di belakang kenderaan (atas tanah) serta keratan surat khabar tidak jauh dari tempat kejadian,” kata Dev.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di tempat kejadian yang terletak beberapa kilometer dari Kampung Kopit, semalam.



Selain itu, Dev menasihatkan orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga agar segera melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran.

“Setakat ini, saya sudah bertanyakan kepada 20 daerah di sekitar Sarawak dan tiada laporan orang hilang diterima.

“Justeru, kita mohon kepada orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga lebih-lebih lagi yang ada kehilangan kereta jenis ini (Triton), sila berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Selain itu, turut dikerahkan ke tempat kejadian ialah Unit Pengesan dari IPK Sarawak untuk membantu siasatan.

Terdahulu, sekitar jam 11.30 pagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima laporan berhubung kebakaran sebuah kereta di tempat kejadian.

Difahamkan, jentera pertama dari Balai Bomba Bau tiba di lokasi kejadian dan berjaya memadam kebakaran tersebut sebelum menemui mayat rentung di tempat duduk bahagian belakang.

Punca kebakaran masih dalam siasatan dan sepasukan Unit Forensik Kebakaran juga dikerahkan ke tempat kejadian untuk membantu siasatan.

Turut hadir di lokasi kejadian ialah Ketua Polis Daerah Bau DSP Mohd Sabri Zainol.

-Posted By Nur Amira Razak
-Borneo Post



Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Maut Kereta Terbakar"

Post a Comment