Ekononi Gawat Pengganas ISIS Potong Gaji



RAQQA, 20 Jan — Menyertai kumpulan pengganas dengan harapan dapat lari daripada kegawatan ekonomi? Silap besar.
Kumpulan militan Negara Islam, atau Islamic State (IS) baru-baru ini terpaksa mengumumkan pemotongan separuh gaji para pejuang mereka. Akhirnya, para militan kini cuma menerima lebih kurang RM600 sebulan.
Potongan tersebut dimaklumkan dalam satu notis pekeliling dari Baitulmal al-Muslimin kumpulan tersebut di Raqqa, Syria, yang bertindak sebagai kementerian kewangannya, dan kemudiannya dilaporkan oleh beberapa media antarabangsa.
Notis tersebut, yang dipercayai dikeluarkan sekitar November dan Disember lepas, juga telah disahkan oleh penganalisa Britain Aymenn Jawad al-Tamimi, yang telah mendedahkan beberapa dokumen rahsia IS sejak Januari 2015.
“Disebabkan beberapa situasi luar biasa yang dihadapi IS, telah diputuskan untuk mengurangkan separuh gaji yang dibayar kepada semua para mujahidin, dan tiada sesiapa pun yang dikecualikan, tidak kira apa jawatan mereka,” kata Abu Muhammad al-Muhaji dalam notis itu, yang dipercayai merupakan menteri Baitulmal IS oleh al-Tamimi.
Al-Muhaji juga menggunakan beberapa ayat Quran dan hadis untuk menyokong pemotongan gaji itu, menjelaskan kepentingan berjihad dengan mengorbankan kekayaan berbanding mengorbankan roh.
Walaupun tidak menyatakan sebab pemotongan itu, dipercayai ia berkaitan kerugian besar yang dialami kumpulan pengganas itu sejak kehilangan beberapa kawasan taklukan serta serangan udara yang memusnahkan kawasan sumber minyak mentah.
Pada Disember lalu, pakatan antarabangsa melancarkan serangan udara terhadap kubu IS, dan mensasarkan kepada kawasan telaga minyak.
Tentera Iraq baru-baru ini memaksa pejuang IS keluar dari Ramadi, pusat bandar daerah Anbar, selepas beberapa bulan mengepung kawasan yang terletak kira-kira 60 batu barat Baghdad.
Oktober tahun lepas, agensi berita Reuters melaporkan bahawa kerajaan Iraq telah mula berhenti membayar gaji kepada penjawat awam dan mereka yang sudah pencen di kawasan Iraq yang ditawan IS, untuk mengelakkan kerugian.
Minggu lalu, ibupejabat Baitulmal mereka di Mosul diserang, memusnahkan jutaan dolar yang disimpan di sana, mengikut laporan beberapa portal Mail Online.
Akibat serangan itu, pemimpin IS di Mosul dilaporkan mengeluarkan fatwa membenarkan ahlinya memeras ugut wang daripada penduduk tempatan.
Antara cara IS mendapatkan sumber kewangan termasuklah merompak berjuta dollar wang daripada bank, menjual minyak daripada telaga minyak yang ditawan, meminta wang tebusan dan juga memeras ugut tawanan.
Bulan lalu, IS dilaporkan mengaut keuntungan sekitar £52 juta (RM321 juta) melalui hasil kutipan cukai, jualan minyak dan dadah.



Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Ekononi Gawat Pengganas ISIS Potong Gaji"

Post a Comment