'Berkahwinlah Bila Sudah Bersedia, Bukan Bila Kita Terasa Sunyi'


Selepas kahwin, Amer minta saya tinggal dengan dia. Saya berusia 23 tahun 20 hari (Jun 2014), agak muda dan sangat mentah dalam ilmu rumahtangga. Dalam akaun bank hanya ada RM20 (limit akaun bank Islam) yang tidak boleh dikeluarkan lagi. 

Pada masa itu, seminggu lagi nak final exam, saya kahwin semasa study week. Sepatutnya semasa final exam, saya boleh saja nak duduk dengan housemate dan selepas final exam terus balik kampung buat sementara waktu. Tunggu semua reda, tunggu dia mencari duit dulu untuk support semua. Tetapi dia nak saya tinggal bersama dengan dia. 

Selepas kahwin hari ini, lusanya terus balik ke Kuala Lumpur sebab saya dah nak exam dan terus ke rumah sewa untuk angkut barang-barang saya. Kami duduk dengan kawan-kawan dia buat sementara waktu. Saya duduk di medium room, bilik lama dia. Mereput dalam bilik itu duduk seorang-seorang. Nak keluar ke ruang tamu rasa segan, hampir tiga bulan begitu.

Kawan-kawan dia nak keluar rumah sebab nak beri peluang pada orang yang baru mendirikan rumahtangga. Seronoklah saya sebab sewa lama masih RM600 walaupun kadar sewa pada masa itu sepatutnya RM1,200-RM1,500. Apartment agak luas dan master bedroom ada bilik air. 

Owner nak jual rumah. Dia dah jualkan rumah kepada orang lain. Saya kata, biarlah saya duduk menyewa bilik dengan kawan di Bukit Angkasa. Lagi pun kawan saya tengah mencari rakan serumah dan biar Amer tinggal bersama dengan kawan-kawannya semula. Menyusahkan dia saja kena hantar dan ambil saya dari Damansara ke UM. 

Tetapi siapa nak melepaskan isteri? Baru kahwin kot? 

"Kalau dulu masa bercinta, boleh datang dari Damansara ke Bukit Angkasa, kenapa kalau dah kahwin tak boleh buat?" katanya.

Bab mencari rumah sewa, masuk 7 Eleven, masuk kawasan flat, kami tak pernah meminta tolong orang untuk carikan rumah sebab saya tahu takkan ada sesiapa yang sudi membantu. Selagi ada kudrat dan tayar motosikal yang boleh bergerak, kami akan buat sendiri. Kadang kala kita tidak perlu tunjukkan betapa sengsaranya hidup kita sebab nanti akan ada orang yang berkata, 

"Who the f*ck cares about your life?"

Kena ingat juga, tiada untungnya kalau kita meluahkan masalah kita pada orang ramai. 80% takkan ambil tahu langsung, 20% lagi sedang bertepuk tangan sebab mereka memang mengharapkan kita ini merana.

Dapat rumah flat yang macam sekarang tetapi blok lain. Owner nak rumah dia kembali. Anak saudara dia nak rumah, datang dari kampung nak kerja. Masalah ini terjadi apabila penyewa lama nak keluar rumah tetapi owner tak nak pulangkan duit deposit. Jadi penyewa lama perlu mencari penyewa baru untuk mendapatkan deposit dari kami. Lalu mereka bergaduh lagi dan kami jadi mangsa.

Saya menangis seorang diri di dalam bilik air. Saya buka air paip sederas habis. Saya basuh muka saya. Keluar saja dari bilik air, saya nampak dia termenung. Saya peluk dia dari belakang dan kata,

"Jom pergi keluar masuk 7 Eleven. Rasa rindu pula,". 

Disinilah peranan seorang isteri untuk tenangkan hati suami dan bukannya menyesakkan lagi. Saya tidak mahu menyalahkan penyewa lama, owner rumah dan sesiapa pun. Perkara ini sudah terjadi dan ada sebab mengapa Allah berikan ujian ini kepada kami.

Saya jenis manusia yang selalu cakap "Perkara kecil saja,", "Tak ada masalah,", "Okay saja,", "Boleh saja,", "Saya tak kisah,". Orang kata nak cari isteri kena cari yang kuat agamanya. Tetapi salah satu yang lain adalah tidak mudah melatah, tidak cepat berputus asa dan sentiasa kuat. Saya di depannya saja nampak kuat sebab saya tahu dia akan kuat bila saya kuat. Kalau saya lemah, dia dua kali ganda akan lemah. Kalau saya nak menangis sebab kehidupan atau ujian, saya kena menangis secara bersembunyi. Nanti dia akan rasa bersalah sebab dia dah membuatkan saya tidak bahagia dan turut menderita. 

Padahal saya tidak pernah rasa susah bila hidup bersama dengannya. Cuma kadang-kadang air mata yang keluar ini air mata untuk Allah, kecewa atau bahagia.

Saya tidak pernah mahu menyusahkan ibu bapa di kampung. Tak pernah menghubungi mereka dan mengatakan yang saya ada masalah. Dah nak kahwin sangat kan? Pandai-pandailah membawa diri. Jaga diri sendiri dan suami baik-baik. Tetapi ibu dan bapa saya tahu yang saya bukan jenis yang cepat berputus asa. Kalau tak, macam mana saya boleh terlepas kahwin semasa study dan tengah study week pula pada waktu itu? 

Masa itu, saya selalu tarbiah sentap manja-manja dengan ibu bapa dengan dalil-dalil al-Quran tentang keistimewaan kahwin muda. Kalau lelaki boleh guna dalil kata boleh kahwin empat, kenapa saya tak boleh? #JanganKecamSaya.

Masuk 7 Eleven, masuk kawasan flat semula. Kawan Amer mendapat tahu yang kami sedang mencari rumah dan Alhamdulillah, dapat. Sampai sekarang Amer terasa terhutang budi dengan kawannya itu dan boleh dikatakan dia selalu bawa balik pizza Domino untuk diberikan pada anak isteri kawannya makan pizza. Saya rasa mereka sekarang pun dah muak makan pizza. Dah tak pandang dah kot. 

Angkut barang-barang guna motosikal guna beg IKEA. Dalam masa 5 bulan, dua kali pindah rumah. Memang penat!

Pertama, beli kabinet televisyen. Tengok televisyen beralaskan toto. Kemudian, beli karpat harga RM50 di Jalan TAR. Bila terasa sakit punggung, beli sofa. Beli bekas polisterin putih nak letak ayam, ikan, sebab tak ada peti ais. Kumpul duit dulu, baru dapat beli. Banyak benda yang kami beli sikit-sikit. Tentukan tema rumah, nak macam cafe hipster, hitam putih dan ada elemen kaca dan kayu pallet.

Nak beli barangan IKEA, tetapi tak mampu. Jadi saya buat keputusan untuk bekerja di IKEA sebab boleh dapat diskaun 15%. Saya kerja part time sambil belajar, pergi kelas, buat online bisnes dan buat personal shopper IKEA dalam satu masa. Sampai saya pernah pengsan sebanyak 5 kali di kaunter IKEA kerana kepenatan, dehydrated, tekanan darah rendah. 

Boleh dikatakan 80% barangan IKEA dan barang hiasan saya beli guna duit sendiri. Saya biarkan dia uruskan apa yang patut diuruskan oleh seorang suami. Rumah, kereta, motosikal, segala jenis bil. Amer tak izinkan saya bekerja dan buat bisnes online buat masa ini kerana mungkin dia tercabar dengan kegigihan dan kekuatan diri yang ada pada perempuan Kelantan (gurau je!) yang tidak mudah menyerah kalah, yang terbiasa hidup susah, berdikari. Ibarat tiada lelaki dalam hidupnya pun masih boleh teruskan hidup lagi. CEH!

Nak cat rumah, terinspirasi bila tengok cat rumah kondominium depan kedai cat. Nak duduk kondominium pula tak mampu, mampu tiru cat pun jadilah. Kami pinjam tangga Domino, angkut bawa balik ke rumah dengan motosikal yang man saya galas di bahu. Sekarang, dia beri saya berehat sepuas-puasnya dan menganggur dan menguruskan hal rumahtangga dulu.

"Walaupun awak tak berkerja, saya masih mampu menanggung awak dan keseluruhan kesemuanyaa sekali," katanya.

Disebabkan kami sudah selalu diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan hidup, Allah maki menguji kesabaran kami bila kami sentiasa redha dan pasrah dengan ujiannya. Allah lambatkan rezeki anak pada kami tetapi kami tetap tidak lemah. Saya tahu ada sesuatu yang istimewa Allah nak berikan pada kita. Cuma Allah minta, jangan sesekali saya mengalah. Akan tiba jua masanya kelak.

Gambar rumah flat yang sempit diupload di wall Facebook saya semalam adalah rumah yang disewa oleh suami seorang mat despatch, runner dan rider Domino Pizza dan isterinya seorang penganggur a.k.a graduan UM yang serba boleh dan serba guna.

Sebab itu saya pernah update satu status dengan ayat, "Pelamin Mewah atau Rumah? Mana Pilihan Korang?"

Saya tahu pelamin mewah tidak semahal rumah. Tetapi saya sebagai orang yang sudah pernah makan asam garam untuk mencari tempat berteduh tahulah bagaimana rasa susahnya hidup selepas kahwin. Tak seindah pelamin yang gah, tidak pula saya kata alam perkahwinan itu tidak best. Best tetapi dalam masa yang sama, yang best itu tetap ada dugaan yang ditimpakan agar hidup ini menjadi lebih best selepas diuji.

Ada sesetengah orang lebih suka kalau selepas kahwin, isteri masuk rumah cuma cuci kaki saja. Tetapi saya lebih suka susah senang bersama-sama seperti ini kerana ada saat untuk dikenang dan baru ada rasa menghargai satu sama lain serta bersyukur dengan apa yang ada.

Kalau kita nampak benda-benda yang best tentang rumahtangga (relationship goals misalnya) dalam Facebook, jangan sesekali tag atau mention pasangan seolah-olah kita meminta mereka sediakan untuk kita. Tunjukkan usaha kita yang sanggup susah senang bersama-sama.

Bacalah dengan mata hati, di sini banyak saya simpulkan tentang realiti rumahtangga (perihal mencari rumah sahaja) selain rumah besar, kereta mewah dan makanan best-best. Walaupun saya masih muda tetapi pengalaman hidup banyak mengajar saya dan degree is nothing.

Degree, kasta untuk membezakan siapa yang pandai, siapa bodoh. Tetapi rezeki Allah, tak kira kita pandai  atau bodoh, asalkan kita rajin dan kuat berusaha, semua boleh rasa. Rezeki Allah itu luas, seluas-luas rezeki Allah di dunia ini, hanyalah satu nikmat dari Allah saja. 99 nikmat yang lain semuanya di syurga kelak. Jadi, janganlah masing-masing dengki dan busuk hati dengan rezeki orang lain.

Rezeki is mean kemewahan, kesihatan, kesempurnaan, kecantikan, kepandaian, kezuriatan, kebahagian, ketenangan dan banyak lagi. Kita dengki dengan rezeki bersamaan 1 nikmat dunia padahal kita sudah terlepas 99 nikmat di syurga. (Tiba-tiba berceramah pula)

Berkahwinlah when you’re ready, not when you’re lonely Saya Aten, isteri Encik Amer yang sangat sweet -24 TAHUN 8 BULAN. - Cik Aten Azlan | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "'Berkahwinlah Bila Sudah Bersedia, Bukan Bila Kita Terasa Sunyi'"

Post a Comment