Dihukum Ketuk Ketampi Lebih 200 Kali Sampai Kencing Berdarah

Gambar hiasan sahaja | Foto dari Google Images

MIRI - Seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah dikenakan hukuman ketuk ketampi sebanyak 200 kali menyebabkan mangsa mengalami pendarahan dalaman.

Ekoran kejadian itu, ibu mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan guru sekolah berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Lutong, Sabtu lalu. Ibu mangsa meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap guru terbabit yang tidak profesional dan mengambil kira kesan terhadap kesihatan anaknya itu yang didapati mengalami kencing berdarah.

Menurut ibu mangsa, anaknya mengadu mengalami kesakitan dan kencing berdarah pada malam 20 Januari.

"Saya risau dengan keselamatannya lalu menghantarnya ke Hospital Miri untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Doktor kemudian menahannya untuk pemerhatian dan rawatan susulan.

"Doktor memaklumkan bahawa anak saya mengalami bengkak urat dan terdapat kecederaan dalaman pada otot-otot yang memberikan kesan terhadap buah pinggang dan menyebabkan dia mengalami pendarahan semasa membuang air kencing," katanya memetik laporan dari Utusan Borneo.

Gara-gara dihukum ketuk ketampi sebanyak 200 kali, mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital selama 9 hari untuk rawatan dan buah pinggangnya dicuci. 

Difahamkan mangsa dan beberapa rakannya dikenakan hukuman ktersebut kerana tidak membersihkan kelas dan mengelap tingkap pada Isnin 18 Januari 2016.

Akibatnya, mereka dihukum ketuk ketampi sebanyak 100 kali. Oleh kerana mereka tidak membuang sampah pada Jumaat sebelumnya, hukuman itu ditambah sebanyak 100 kali lagi. Lebih teruk lagi, jika mereka tidak melakukannya secara serentak, mereka perlu mengulanginya semula menjadikan mereka melakukan ketuk ketampi lebih dari 200 kali.

"Saya tidak halang, malah menyokong guru mendedan pelajar yang ingkar arahan termasuklah anak saya jika benar mereka bersalah. Tetapi apa yang saya kesalkan ialah hukuman itu tidak profesional dan tidak sesuai, malah boleh menjejaskan kesihatan pelajar.

Mangsa juga mendakwa dia kini trauma dengan kejadian itu dan bimbang tumpuan dan pembelajarannya di sekolah itu akan terjejas. - THEHYPEMEDIA.COM


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Dihukum Ketuk Ketampi Lebih 200 Kali Sampai Kencing Berdarah"

Post a Comment