'Pergi Mandi Sekarang! Kalau Tak, Mama Buang Semua Mainan!'


"Pergi mandi sekarang! Kalau tak, nanti mama buang semua mainan!" 

Kawan saya kata, ini antara kesilapan yang paling besar ibu bapa di Malaysia. 

Saya ada seorang kenalan, anaknya sangat mendengar kata, tidak melawan cakap. Sejuk saja hati melihatnya. Namun saya pelik, nak kata kawan saya ini garang, tidak juga. Tidak pernah pula saya melihat dia menjerit pada anaknya.

Saya pun cuba mengorek rahsia daripada dia sebab bila tengok anak-anak orang lain menjerit, menangis dan melawan itu adalah perkara biasa. Tetapi anak dia tidak begitu. 

Mula-mula, dia buat lawak sebab perangai anaknya itu adalah 'baka' dari dia. Saya hanya tergelak saja pada ketika itu.

"Orang kita ini kerap sangat nak ugut anak perkara yang dia takkan buat pun. Selalu dengar tak yang ibu bapa selalu mengugut anak nak letak dalam hutanlah, buang semua mainanlah, bagi tinggal dengan orang gila lah. Tetapi pernah tengok mereka benar-benar berbuat demikian?" soalnya. 

Aku sekadar mengangguk. Memang kerap mendengar ibu bapa mengungkap ugutan seperti itu. Namun tidak pernah dibuat oleh mereka kerana tiada ibu bapa yang sanggup berbuat demikian. 

"Awak rasa apa yang anak awak akan rasa. Bila awak terlalu kerap mengugut perkara yang awak tak akan buat pun? ibu bapa selalu rasa anak ini terlalu kecil untuk faham. Ini kesilapan besar kita. Anak-anak kecil kita ini sangat bijak sebenarnya. 

"Bila kita kerap mengugut mereka seperti itu tetapi tak buat langsung apa yang dikatakan itu, dari hari ke hari anak-anak akan menganggap kita cakap tak serupa bikin.

"Setiap kali ibu bapa buat seperti itu, sedikit demi sedikit anak akan hilang rasa hormat dan kurang takut pada apa yang kita katakan. Dalam fikiran mereka,
Buat apa nak takut? Bukannya mak dengan ayah buat pun. Gertak saja lebih tetapi habuk tarak!
"Ugut anak kata 'Pergi kemas mainan! Kalau tak, mama tak bawa pergi McD!' Tup-tup anak dia tak kemas tetapi petang itu mama dia bawa juga pergi McD. Anak-anak akan berfikir yang mereka tidak perlu menuruti arahan ibu bapanya kerana mereka tetap akan mendapat apa yang mereka mahukan," jelasnya.

Saya mula ternampak sesuatu yang selama ini saya sendiri tidak terfikirkan. Tidak hairanlah ramai anak-anak kurang rasa hormat bilamana ibu bapa mereka berikan arahan suruh buat sesuatu.

"Kita dok sibuk kata menteri cakap tak serupa bikin. Selepas itu kita sendiri juga hilang rasa hormat kepada mereka. Begitulah juga anak-anak kita. Kita cakap tak serupa bikin, anak-anak pun hilang rasa hormat pada kita," sambungnya lagi.

Panjang penjelasan dan perkongsian dari sahabat saya ini. Tetapi saya ingat-ingat lupa. Ayat-ayat di atas ini pun saya taip lebih kurang mengikut apa yang saya ingat. Tetapi di bawah ini saya ringkaskan apa nasihat dia pada ibu bapa yang mahu anak-anak mendengar cakap.

1. Tidak perlu menjadi pemarah, cukup sekadar menjadi tegas. Ada beza antara marah dan tegas. Ibu bapa sekarang ramai yang suka marah tetapi tidak tegas. Bab menjerit nombor 1, tetapi cakap selalu tak serupa bikin.

Kita sering dimomokkan yang kalau tegas, mestilah bengis, tinggi suara dan garang. Hakikatnya, kita boleh saja tegas sambil melontarkan senyuman, kata-kata lembut dan penuh kasih sayang.

Ingat, tegas dalam kelembutan itu mencorakkan rasa hormat yang penuh kasih sayang tanpa membuatkan anak-anak terasa tertekan.

2. Jangan suka ugut anak dengan perkara yang kita tahu kita takkan buat. Kalau nak ajar anak pasal consequences pun, pastikan cakap apa yang kita akan buat sahaja.

Contohnya, "Pergi mandi sayang. Kalau tak, nanti mama tak bawa pergi taman petang ini,". Kalau dia tak buat, tak perlu marah, tak perlu menjerit. Tetapi bila sampai petang, jangan bawa pergi ke taman biarpun dia menangis dan menjerit pada ketika itu.

Biar anak kita tahu yang kita bukan pemarah tetapi kita tegas. Setiap apa yang kita cakap, kita buat. Dia akan mula hormat dengan apa yang kita cakap walaupun tanpa menjerit.

3. Katakan pada anak kita cuba merayu dan meminta maaf yang dia tidak akan mengulangi kesilapannya lagi. Dia berjanji dan meminta untuk dibawa ke taman pada hari yang sama dia melakukan kesilapan itu, jangan bawa walaupun dia telah meminta maaf.

Katakan pada dia, "Hari ini sayang dah buat salah, mama tak bawa pergi taman. Kita tengok esok, kalau sayang dengar cakap, kita pergi esok,".

Esoknya bila kita suruh mandi, dia akan mula teringat yang semalam mama papa dia betul-betul tak bawa pergi ke taman. Jadi hari ini dia kena dengar cakap.

4. Bila anak dengar kata, berikan ganjaran. Jangan hanya tahu mengugut bila dia tidak mendengar kata tetapi tak berikan reward bila dia mendengar kata.

5. Jangan lupa berdoa pada Allah SWT. Usaha kita ini asbab sahaja. Yang memberi rezeki anak mendengar kata itu ialah Allah SWT. Bukan kita sendiri.

6. Suami isteri perlu berkerjasama dan berusaha menjadi ibu bapa yang tegas seperti ini. Tidak boleh menyalahkan seorang sahaja.

Katakan isteri tegas, tetapi suami pula tidak tegas. Anak-anak akan pandang ibunya itu tidak best. Anak-anak akan lebih rapat dengan ayah sebagai jalan untuk dia melepaskan diri dari ketegasan ibunya.

Kata kuncinya ialah, bersama-sama. Ia tidak akan terjadi jika hanya salah seorang sahaja yang berusaha begini.

7. Kata kunci kedua adalah konsisten. Tidak boleh hari ini tegas, esok tak, lusa tegas balik. Kasihan pada anak, mereka akan keliru nanti. Mana yang betul, mana yang salah. Akhirnya usaha kita menjadi sia-sia.

Perlu konsisten sekurang-kurangnya 3 minggu. Tiada sekali pun tidak tegas. BOleh lihat perubahan ketara anak-anak selepas itu. InshaAllah. 

Walaupun saya belum ada anak lagi, tetapi saya kongsikan tips ini kerana saya masih nampak ramai ibu bapa yang masih membuat kesilapan ini tanpa kita sedari. - Muhammad Zukermi Edi | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "'Pergi Mandi Sekarang! Kalau Tak, Mama Buang Semua Mainan!'"

Post a Comment