Pendatang Asing Sebar Penyakit AIDS


MELEWATI beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur seperti di Puduraya, Pasar Seni atau Chow Kit kita seakan-akan berada di luar negara.

Perasaan itu dirasai kerana aktiviti harian di kawasan tersebut dikuasai oleh warga asing.

Persoalan mengenai kebanjiran warga asing di negara ini bukan perkara baharu kerana ia sudah lama dibicarakan iaitu sejak awal tahun 2000.

Namun, tidak tahu apa silap dan salahnya, isu itu bagaikan tiada penghujung serta semakin menjadi-jadi pula.

Kebanjiran pendatang asing ke Malaysia semakin menjadi kerisauan apabila ia turut menjejaskan kesihatan penduduk tempatan.

Data Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) memperlihatkan nisbah 10 daripada 100 orang pekerja asing yang disaring menghidap penyakit berbahaya seperti batuk kering atau tuberkulosis (tibi), hepatitis B dan AIDS.

Merebak

Ketua Pegawai Eksekutif Fomema, Datuk Mohd. Hatar Ismail berkata, masih ada pekerja asing yang gagal dalam pemeriksaan kesihatan walaupun setelah menjalani saringan kesihatan di negara asal mereka.

“Ini baharu pekerja asing yang sah. Cuba bayangkan pekerja asing yang memang tidak ada permit, berapa ramai yang dijangkiti,” katanya.

Statistik Fomema itu juga menunjukkan hanya 1.2 juta pekerja asing di Malaysia mengambil pemeriksaan kesihatan setiap tahun, selainnya tidak dapat dikesan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut melaporkan, terdapat hampir tujuh juta pekerja asing di negara ini termasuk pendatang haram.

Mohd. Hatar menambah, kes penyakit berbahaya yang paling tinggi dalam kalangan pekerja asing adalah tibi diikuti hepatitis B dan AIDS.

“Penyakit tibi boleh merebak melalui udara dan mereka (pekerja asing) gemar menaiki pengangkutan awam seperti bas serta tren,” ujarnya.

Fomema ditubuhkan pada 1997 bertujuan untuk menguruskan ujian saringan kesihatan bagi semua pekerja asing yang berdaftar untuk bekerja di negara ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mendedahkan, hasil pemeriksaan ke atas hampir semua pekerja asing di restoran dan gerai makanan pada Oktober lalu mendapati, mereka tidak mengambil suntikan tifoid seperti yang diwajibkan oleh pihak berkuasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, Operasi Premis Bersih Makanan Bersih di Kuala Lumpur dan Selangor yang dilakukan selama lapan hari bermula 19 Oktober lalu mendapati, 36 peratus daripada 364 pengendali makanan warga asing yang diperiksa tidak mengambil suntikan tifoid.

“Ini bermakna ketika majikan mengambil warga asing, mereka mengetepikan peraturan yang mewajibkan pekerja di kedai makan mesti mengambil suntikan sedangkan ia merupakan syarat yang ditetapkan oleh kementerian.

“Walaupun wujud penguatkuasaan, terdapat dalam kala­ngan pemilik premis makanan yang mengetepikan arahan ini. Ke­sannya, berlaku penularan wabak demam kepialu di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Ancaman-ancaman penyakit itu mencetuskan kerisauan dalam kalangan penduduk Malaysia. Ini kerana pendatang asing itu bekerja di semua sektor seperti pembinaan, perkilangan, perkhidmatan, perladangan, pertanian dan pembantu rumah.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Salma Anuar berkata, dia tidak lagi membawa anak-anaknya ke Pasar Seni yang pada suatu ketika dahulu menjadi tempat kegemaran untuk makan dan membeli barang perhiasan rumah.

“Anak saya tidak tahu apa itu Pasar Seni, bukan tidak mahu bawa tetapi saya bimbang mereka berisiko dijangkiti penyakit.

“Ada baiknya saya mengelak daripada tempat yang dipenuhi warga asing. Bukan sahaja saya risau tentang ancaman penyakit tetapi saya sendiri berasa tidak selamat,” coretan menerusi Facebooknya.



Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Pendatang Asing Sebar Penyakit AIDS"

Post a Comment