'Ya Aku Memang Keling. Jadi?'


Baru-baru ini tersebar berita seorang pengawal keselamatan sebuah kolej memanggil sekumpulan pelajar Indian 'Keling' mengingatkan saya pada insiden yang berlaku 20 tahun yang lalu.

Ketika itu saya berusia 13 tahun, tingkatan 1 di Sekolah Menengah St Anne's Convent di Kulim, Kedah. Sebagai pelajar baru di sekolah, saya cuba menyesuaikan diri dan ada beberapa pelajar senior mula memanggil saya sebagai KK.

"Oi KK, hantar buku ini ke pejabat," 

"KK! Mai sini jap,"

"Siapa yang masuk Islam, KK? Mak awak ka bapak awak?"

Saya tiada idea apa makna panggilan KK itu sebenar. Jadi saya pun tak ambil pusing. Namun, lama kelamaan ia amat menyakitkan halwa telinga apabila dipanggil KK hampir setiap masa. Lalu saya mengambil keputusan untuk bertanya apa maksud KK yang sebenar. 

"Kak, apa itu KK?" soal saya pada seorang pelajar senior menyebabkan dia ketawa terbahak-bahak seperti terkena histeria.

"KK itu awaklah. Keturunan Keling," jawabnya.

Jujur, saya tidak tahu apa maksud 'Keling' dan dalam masa yang sama saya mencari maksud perkataan itu di dalam kamus.

"Keling - Orang India"

Kamus telah memberikan saya penjelasan yang penuh. Saya keliru mengapa pelajar senior memanggil saya 'Keturunan India'? Maksud saya, jika saya memanggil mereka 'Keturunan Melayu', tidakkah ia kedengaran seperti tidak masuk akal? Apa hak mereka untuk memanggil orang lain 'Keturunan Cina', 'Keturunan Iban' dan 'Keturunan Benggali'? Tambahan, mereka jelas sekali tahu nama sebenar saya melalui tag nama yang saya pakaikan pada baju. Jadi mengapa perlu sebut bangsa saya? Saya benar-benar keliru.

Kemudian, suatu hari, ketika berbincang mengenai hal-hal sekolah dengan keluarga, saya memberitahu mereka bahawa rakan sekolah memanggil saya KK. Ayah benar-benar marah. Ayah bertambah marah apabila saya memberitahu yang guru sekolah juga mengetahui perkara itu namun tidak mengambil sebarang tindakan.

"'Keling' adalah satu istilah penghinaan yang membawa maksud berkulit hitam. Kita sepatutnya tidak memandang rendah pada orang lain berdasarkan warna kulit. Jadi, jangan biarkan sesiapa memanggil awak 'keling!'" katan ayah.

Kata-kata ayah itu membuatkan saya lebih keliru. Maksud saya, kulit saya lebih gelap dari rakan sekolah berbangsa Melayu, Cina dan saya adalah India. Saya tidak beberapa menggemari istilah KK, secara peribadinya saya tidak melihat sebarang unsur penghinaan dalam gelaran KK itu meskipun gelaran itu menunjukkan yang saya berkulit hitam.

Istilah 'Keling' itu tiada bezanya dengan panggilan 'Africans Black', atau 'Caucasians White'. Jadi mengapa perlu hipokrit? 

Bagaimanapun, masa berlalu dan saya juga kerap kali dipanggil dengan gelaran lain. 

Ada suatu ketika, saya pernah dipanggil 'Pariah' oleh seorang individu yang tidak dikenali di stesen bas Kulim. Ia bermaksud golongan kasta yang paling rendah dalam sistem sosial India. Saya agak hairan mengapa ada orang yang menggelar saya sebagai 'Pariah' sedangkan di Malaysia kita tidak mengamalkan sistem kasta? Saya terpaksa kata itu satu tindakan yang bodoh. Jadi saya menganggap individu yang berkata demikian semestinya seorang yang 'bodoh siol'.

Selain dari pernah dipanggil sebagai 'Keling' dan 'Pariah' adalah 'Mamak'. Secara jujurnya saya tidak tahu mengapa golongn India Muslim seperti saya mudah tersinggung apabila dipanggil 'Mamak'. Adakah itu menjelaskan siapa kita yang sebenar? Tidak? Walaupun kelakar, kebanyakan orang bangga apabila dipanggil sebagai 'Anak Mami' tetapi bukan 'Mamak'. Sama seperti dipanggil sebagai 'Indian' tetapi bukan 'Keling'.

Hari ini, dalam semangat sebenar sebagai rakyat Malaysia, anak-anak saya yang dipanggil sebagai 'Mamak' dan 'Keling' oleh orang lain. Di sekolah, di taman, dalam perlawanan bolasepak. Percayalah, ia masih berlaku. Walaupun selalu tersinggung dengan panggilan seperti itu, anak saya mempunyai jawapan yang sempurna.

"Kalau tiada mamak seperti saya, tak akan ada nasi kandar. Dan kalau tiada keling seperti saya, tentu tiada rempah ratus dan kari. Jadi berterima kasihlah pada Mamak dan Keling sebab kalau tiada kami, tentunya setiap hari anda kena makan nasi putih campur kicap,"

Kepada sekumpulan pelajar India yang tersinggung apabila dipanggil sebagai 'Keling' tempoh hari, usahlah tersinggung lagi. Akuilah bahawa kita adalah India. Kita adalah Keling. Marilah kita mendongak ke atas dan berbangga dengan bangsa kita. 

Kita mungkin 'Keling' bagi sesetengah orang, tetapi sekurang-kurangnya kita tidak malas. Sekurang-kurangnya kita tidak bergantung pada subsidi untuk teruskan hidup. Sekurang-kurangnya kita tidak cemburu dengan kekayaan orang lain. Sekurang-kurangnya kita tidak lembab dalam pelajaran atau memerlukan skim khas untuk mendapat peluang terbaik dalam hidup. 

Kita adalah bangsa 'Keling' yang bijak, rajin, bijaksana dan kita harus berbangga dengannya! - India Malaysia | Diterjemah semula dari FMT untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM 


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "'Ya Aku Memang Keling. Jadi?'"

Post a Comment