Ringgit Catat Paras Tinggi Baharu


Ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam apabila ditutup di paras tinggi baharu tahun ini pada 4.11, disokong kestabilan harga minyak mentah dunia serta peningkatan pasaran saham serantau dan tempatan.

Nilai ringgit mencatat kadar terendah tahun ini di paras 4.41 pada 12 Januari lalu, sebelum kembali stabil pada paras 4.12 yang dicatatkan pada awal bulan lalu.

Mata wang tempatan mencecah paras rendahnya dalam tempoh 17 tahun di paras 4.46 pada 29 September tahun lalu.

Harga minyak mentah dunia kekal stabil melebihi paras AS$30 satu tong dengan kontrak minyak mentah Brent pada AS$36.98 satu tong, sementara kontrak minyak mentah AS pada AS$34.55 satu tong.

Dalam dagangan sema­lam, pasaran saham Asia juga meningkat dengan Indeks Nikkei naik 0.3 peratus kepada 17,014.78, Shanghai naik 0.5 peratus kepada 2,874.15 dan Hong Kong menokok 1.2 pera­tus kepada 20,176.70.

Di pasaran saham tempa­tan, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.29 mata kepada 1,692.490 berbanding penutup kelmarin 1,688.20.

Faktor luaran
Mengulas pengukuhan ring­git, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid (gambar), berkata pengukuhan ringgit sebahagian besarnya didorong oleh langkah pengurangan Nisbah Keperluan Rizab (RRR) oleh bank pusat China dan pengu­rangan jumlah pengeluaran minyak di negara Pertubuhan Negara Pengeksport Petrole­um (OPEC).

Beliau berkata, petanda yang menunjukkan pemulihan ekonomi AS yang berterusan, terutama dari sudut pasaran buruh juga menjadi faktor penyumbang kepada pengukuhan ringgit.

"Pada tahun ini sahaja, kita sudah melihat nilai ringgit berbanding dolar AS mencecah lebih RM4.40 pada Januari lalu dan kembali mengukuh sekitar RM4.12 pada awal Februari.
"Faktor luaran dilihat menjadi penyumbang kepada pengukuhan mata wang tempa- tan ketika ini," katanya kepada BH, semalam.

Ketua Penganalisis Pasaran FXTM, Jameel Ahmad pula berkata, ringgit mendapat sokon- gan daripada pengumuman negara pengeluar utama minyak mentah dunia untuk mengu- rangkan pengeluaran komoditi itu.

Pengumuman itu, katanya, menyokong ringgit untuk berlegar sekitar 4.1125 dan 4.4094 berbanding dolar AS.

"Selepas berhadapan tekanan daripada penjualan besar-besaran dalam pasaran ekuiti Asia utama, ringgit kini mula menunjukkan sedikit pemulihan dengan memanfaatkan daripada harapan bahawa harga minyak mentah akan stabil dan mencatatkan pemulihan.

"Pengurangan jualan besar-besaran dalam pasaran ekuiti juga menyokong ringgit untuk mengukuh berbanding dolar AS," katanya.

Sementara itu, Affin Hwang Capital Rese­arch berpendapat, pengukuhan ringgit ketika ini didorong oleh kemasukan dana asing ke Malaysia.

Firma penyelidik itu menjangkakan seki­tar RM14.5 bilion pengaliran masuk modal asing ke dalam pasaran bon tempatan dalam tempoh empat bulan lalu, sekali gus merendahkan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kepada 3.92 peratus berbanding 4.37 peratus pada 14 Disember lalu.

-Berita Harian


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Ringgit Catat Paras Tinggi Baharu"

Post a Comment