DR Vida Cabar JDT Lawan Kelantan


Penaja baru Kelantan mencabar juara Piala AFC, Johor Darul Ta’zim (JDT), berentap dengan pasukannya secara persahabatan dalam masa terdekat.

Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, pengasas produk Pamoga dan Qu Puteh, berkata perlawanan itu yang dianggap pertemuan “buku dengan ruas” diadakan sebelum bermulan musim ini.

“Kita mahu permainan secara sihat. Mengapa JDT?” katanya, juga dikenali Dr Vida, di majlis menandatangani kontrak penajaan pasukan Liga Super Kelantan musim 2016 di sini hari ini.

“Walaupun Selangor dan Pahang juga kuat, tetapi kita pilih antara dua terbaik dan saya anggap perlawanan JDT dan Kelantan seperti ‘buku dengan ruas’.”

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan memaklumkan kepada pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim tentang hasrat pasukannya, yang kini dikenali Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata perlawanan persahabatan itu juga boleh diadakan sebagai acara kebajikan, selain menghargai penyokong kedua-dua pasukan.

“Saya akan sembah maklum kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan sampaikan hasrat Dr Vida. Terpulang kepada tuanku tetapi saya fikir tuanku akan pertimbangkan.

“Kalau ramai penonton, mungkin kita adakan perlawanan di Bukit Jalil,” katanya di sidang media yang sama.
Namun Annuar berkata pasukannya perlu menyelesaikan isu pemilihan pemain import, yang masih di peringkat pertimbangan, sebelum memulakan sebarang perlawanan.

Setakat ini, tiga calon berada dalam senarai iaitu dari Morocco, Argentina dan Liga Sepanyol.

“Kita kena segera selesaikan pemain import sebelum lawan JDT,” katanya, yang mengakui pemain import “agak lambat” diputuskan kerana bimbang mengulangi kesilapan musim lalu.

Dalam majlis itu, pemilik Vida Beauty Sdn Bhd dan KAFA menandatangani kontrak tajaan bernilai RM16 juta bagi dua musim.

Majlis itu disaksikan barisan exco KAFA, pemain TRW, yang memakai jersi baru berwarna merah jambu, serta penyokong.

-Malay Mail


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "DR Vida Cabar JDT Lawan Kelantan"

Post a Comment