'Saya Malu Kakak Ipar Tak Cantik, Entah Kenapa Abang Pilih Dia'


Salam, tahun lepas saya dapat seorang lagi kakak ipar, isteri abang ipar saya yang kelima berkahwin. Dalam ramai-ramai abang saya, dialah yang paling kacak. Tetapi isterinya bagi saya berwajah biasa-biasa sahaja. Tak cantik, berkulit gelap.

Dari mula mereka bertunang lagi, saya macam agak kecewa jugalah. Ingatkan kakak ipar ini cantik, lawalah sehingga abang saya itu beria-ria suruh ummi saya pergi meminang sampai ke pantai timur kami pergi.

Kawan-kawan saya juga teruja nak melihat gambar kakak ipar saya tetapi saya malu sebab kakak ipar saya hanya biasa-biasa sahaja. 

Abang saya jumpa dia dua kali saja selepas itu terus pinang. Mereka bertunang lebih kurang dalam tiga bulan terus bernikah.

Selepas kahwin, kakak ipar iaitu Kak Na, duduk serumah dengan kami. Gayanya agak kasar dan dia memang lasak seperti jantan. Saya sendiri kadang-kadang hairan mengapa abang saya sayang sangat padanya. Pernah sekali saya ternampak dia memanjat tangga, menukar lampu dapur seorang-seorang. 

Pokok rambutan belakang rumah saya pun selamba dia panjat. Masa itu saya ingat lagi, saya menggeleng-geleng kepala dan cakap pada ummi yang Kak Na sudah serupa beruk. 

Kadang-kadang dia tolong ambil adik saya di asrama. Adik kata, Kak Na pandu kereta seperti orang gila, laju seperti memandu Ferrari. Tetapi dalam kasar-kasar Kak Na, suara dia agak lembut walaupun nyaring sikit. Kalau anak-anak saudara saya datang, dia memang suka melayan. Dia bacakan buku cerita, main buku warna dan lukis sehingga kadang-kadang ada yang tak mahu balik kerana mereka mahu tidur dengan Kak Na. Kak Na pandai melayan karenah budak-budak.

Kak Na ini jenis yang 'Happy Go Lucky' jugalah. Kalau dia menonton televisyen seorang diri pun dia boleh tergelak seperti langsuir. Tidak pernah saya melihat dia ada masalah. Kadang-kadang orang tanya, dah berisi ke belum, air mukanya berubah juga. Tetapi selepas itu Kak Na tersengih saja. 

Ada sekali itu, saya baru balik rumah dengan abang saya, tengok Kak Na sedang memanjat bumbung. Punyalah cuak saya sampai menjerit Kak Na sudah gila ke apa? Pada masa itu abang saya pun turut melaung sama marahkan dia. Rupa-rupanya dia nak mengambil anak kucing yang terperangkap di atas bumbung. 

"Kesian anak kucing tu, mengiau dari tadi sebab tak reti nak turun," katanya.

Abang saya marah dia sampai menangis. Itulah pertama kali saya melihat dia menangis. Tetapi dalam sedu tangisan, dia sempat menjawab. 

"Abang ingat Ana boleh tidur ke kalau kucing ini mati sebab jatuh dari bumbung?" katanya.

Baru-baru ini, ummi saya tergelincir dalam bilik air. Kak Na lah yang siang malam menjaga ummi. Kak Na saya ini ada kelulusan ijazah jururawat. Walaupun tidak kerja, tetapi kemahiran dia sangat mantap bagi saya yang tidak pernah menjaga orang sakit ini.

Mandi, tukar lampin, suap makan, semua Kak Na yang buatkan. Sampaikan saya sendiri segan dengan dia. Saya sendiri pun terasa agak kekok nak menguruskan Ummi. Mujur ada Kak Na. 

"Maaf ummi, sebab tak dapat jaga ummi sepenuh masa," kata saya pada ummi. 

"Tak apa, Kak Na ada," balas ummi.

Ummi tahu yang saya tidak menggemari Kak Na. Ummi kata jangan menilai orang di luaran sahaja. 

"Tengok dalam ramai-ramai kakak ipar kamu yang lawa-lawa itu, ada ke mereka sanggup menunggu ummi di hospital dulu?" kata ibu yang membuatkan saya terasa sangat bersalah pada Kak Na. 

Teringat dulu yang saya pernah cakap-cakap belakang mengenai Kak Na. Alangkah jahatnya saya.

Sekarang, ummi dah boleh berjalan semula tetapi menggunakan tongkat. Ka Na masih duduk dengan kami walaupun abang saya sudah membeli rumah lain. 

"Kak Na nak jaga Ummi dulu. Rumah itu tak apa, tak lari ke mana pun," katanya. 

Hubungan saya dengan Kak Na juga semakin baik. Beberapa hari yang lalu, saya sempat bertanya pada abang saya mengapa dia sangat menyayangi Kak Na.

"Mula-mula jatuh cinta bila mendengar suaranya. Selepas itu abang uji sikit-sikit, aalhamdulillah, abang yakin dengan pilihan abang," jawabnya. 

"Abang tak rasa ke Kak Na itu kasar sikit?" soal saya lagi.

"Dalam bilik lain," selorohnya membuatkan saya tergelak. 

Bongok juga abang saya ini. - Maya | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "'Saya Malu Kakak Ipar Tak Cantik, Entah Kenapa Abang Pilih Dia'"

Post a Comment