Masyarakat Mahu Dr Vida Kongsi Kekayaan




16 Jan — Publisiti meluas kekayaan usahawan Pamoga dan Qu Puteh, khususnya penajaan pasukan Kelantan sebanyak RM16 juta, menarik perhatian penduduk di Taman Meru, Ipoh.

Jiran-jiran Datuk Seri Dr Hasmiza Othman di situ menyeru beliau menubuhkan sebuah yayasan pendidikan agar kekayaannya turut dikecapi bersama.

Azmi Abdul Malek, yang tinggal berdekatan kawasan itu, mencadangkan penubuhan Yayasan Pendidikan Bumiputera Taman Meru dalam suratnya kepada akhbar Berita Harian seperti diterbitkan hari ini.

Selain riuh-rendah penajaan pasukan The Red Warriors, kekayaan bekas guru tersebut ditonjolkan melalui satu programme Astro Ria yang kini tersebar meluas.

Pengacara programme di saluran TV itu, Datuk Aznil Nawawi, melawat banglo empat tingkat yang dikatakan bernilai RM22 juta.
Azmi menambah, dalam perbualannya dengan penduduk taman perumahan itu, mereka juga mahu pemilik Vida Beauty Sdn Bhd menaja forum perdana di masjid berdekatan.

Penubuhan yayasan itu bukan sahaja dapat melatih usahawan menjual produk-produk syarikat Hasmiza, dikenali juga Dr Vida, tetapi melahirkan golongan terpelajar Bumiputera.

“Di kawasan Taman Meru, ramai pesara yang mungkin boleh membantu beliau menghidupkan yayasan berkenaan. Adalah diharap cadangan ini tidak dipandang sepi.

“Penduduk Taman Meru pasti berbangga kerana ada warga taman berkenaan yang mempunyai harta berjuta ringgit memanfaatkannya untuk masyarakat setempat.

“Mungkin bersedih jika sekadar melihat kekayaan Dr Vida dari jauh sahaja,” kata Azmi menerusi ruangan pendapat pembaca.

Beliau juga berkata terdapat penduduk di situ yang tidak mengetahui Dr Vida, kini dilantik penasihat kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), tinggal di kawasan itu.

“Ramai yang memuji kehebatannya daripada seorang guru Sekolah Pooi Lam, Ipoh menjadi jutawan ternama dan tinggal di rumah paling mewah di kawasan ini,” dia dilaporkan berkata.




Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Masyarakat Mahu Dr Vida Kongsi Kekayaan"

Post a Comment