Serangan Jakarta: Perkenal Akta MKN Tindakan Tepat


SHAH ALAM - Majlis Belia Selangor menyifatkan tindakan kerajaan memperkenalkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan satu langkah yang proaktif dan tepat.

Presidennya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, kejadian terbaharu yang menimpa Indonesia itu menunjukkan bahawa ancaman keganasan ternyata wujud tanpa mengira waktu dan tempat.

“Kejadian yang berlaku di negara jiran telah memberi tamparan kepada kita selaku negara jiran bahawa tiada lagi persepsi yang menyatakan ancaman keganasan di Malaysia ini mungkin hanya retorik.

“Tetapi kewujudan keganasan ini benar-benar telah mengorbankan nyawa dan mencederakan orang awam. Takziah buat keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, ibu kota Indonesia, Jakarta diserang hingga menyebabkan dua orang awam terbunuh sementara lima lagi suspek ditembak mati di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, akta MKN jelas bukan untuk kepentingan mana-mana parti politik, namun ia diperkenalkan khas untuk menjamin keselamatan keseluruhan rakyat Malaysia.

“Justeru, segala prasangka buruk dan tohmahan terhadap akta ini seharusnya jangan dipolemikkan. Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah kerana aspek keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan jauh sekali untuk dipermainkan,” katanya.


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Serangan Jakarta: Perkenal Akta MKN Tindakan Tepat"

Post a Comment