EMPAT PROJEK BESAR PEMANGKIN PERTUMBUHAN JOHOR



ISKANDAR PUTERI, 6 Mac (Bernama) -- Empat projek mega di negeri Johor, termasuk projek hartanah Forest City dan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), bakal menjadi pemangkin pertumbuhan negeri ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dua projek mega lain ialah projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru dan pembangunan hab minyak dan gas negara di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang.

"Beberapa projek besar untuk negeri Johor termasuk Forest City, HSR, Gemas-JB dan Pengerang...empat projek mega untuk negeri Johor ini, pasti akan jadi pemangkin kepada pertumbuhan negeri.

"Apatah lagi kalau projek ini dipadankan dengan perancangan yang dibuat oleh peringkat negeri dan daerah yang kita akan lancarkan hari ini, saya yakin dan percaya masa depan negeri Johor amat cerah walaupun berhadapan dengan senario ekonomi yang tidak menentu," kata Perdana Menteri ketika berucap di Educity, di sini Ahad.

Najib hadir di sini untuk merasmikan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) dan Rancangan Pembangunan Komprehensif II Iskandar Malaysia (CDP II).

Perdana Menteri juga memuji inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dalam menyediakan PPSJ dan CDP II.

"Kita perlu perancangan yang teliti dan bersifat menyeluruh agar ia dapat menyediakan hala tuju untuk memajukan negeri ini agar terus kekal sebagai sebuah negeri penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara," kata Perdana Menteri.

Menurut statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Johor mencatatkan jumlah pelaburan domestik (DDI) yang diluluskan sebanyak RM27.96 bilion dalam sektor perkilangan, manakala jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan sebanyak RM3.14 bilion, kata Najib.

"Statistik ini juga menunjukkan bahawa Johor merupakan negeri yang mencatat rekod tertinggi pelaburan bagi sektor perkilangan pada 2015 (DDI dan FDI) iaitu sebanyak RM31.1 bilion atau 41.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia," katanya.

Najib yang juga Pengerusi Bersama IRDA, turut menyatakan rasa kagum terhadap pencapaian IRDA dalam menarik pelaburan ke Wilayah Iskandar Malaysia sejak dilancarkan.

-- BERNAMA


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "EMPAT PROJEK BESAR PEMANGKIN PERTUMBUHAN JOHOR"

Post a Comment