UMNO KELANTAN KESAL DENGAN SIKAP MAHATHIR



KOTA BHARU 6 Mac – Badan Perhubungan UMNO negeri ini kesal dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bersekongkol dengan musuh-musuh politik parti itu untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakan Mahathir itu walaupun didakwa mengikut undang-undang, namun perkara tersebut berpotensi menimbulkan kekecohan yang akan mengganggu-gugat kestabilan politik dan menjejaskan imej negara.

Justeru, beliau menegaskan bahawa badan itu secara sebulat suara bersetuju untuk mempertahankan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

“Kita kesal dengan tindakan Dr. Mahathir yang bersama-sama dengan musuh ketatnya sendiri untuk menjatuhkan Najib sedangkan dahulu beliau amat dikenali sebagai seorang yang amat berpegang kepada prinsip.

“Ahli UMNO perlu kembali kepada amalan dan prinsip iaitu mempertahankan institusi Presidan dan parti. Kesetiaan setiap anggota UMNO mestilah tidak berbelah-bahagi.

“UMNO Kelantan akan terus memantapkan gerakan parti dalam memastikan Perdana Menteri terus menerajui pentadbiran negara dengan penuh iltizam, tanggungjawab dan amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO negeri, di sini hari ini.
- UTUSAN


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "UMNO KELANTAN KESAL DENGAN SIKAP MAHATHIR"

Post a Comment