Kemas Kini Status FB Dedah Kepada Jenayah



KUALA LUMPUR 6 Mac – Mengemas kini status serta gambar di laman sosial Facebook menjadi satu trend baharu khususnya dalam kalangan wanita tanpa menyedari perkara itu sebenarnya mendedahkan diri mereka kepada jenayah harta benda dan jenayah korporat.

Naib Penge­rusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, meskipun Facebook itu berada di dunia maya, namun ia boleh meninggalkan pengaruh yang besar.
Ini kerana katanya, telefon pintar yang mempunyai akses kepada geolocation mampu mendedahkan lokasi kedudukan mereka dengan tepat.

“Tindakan suka check in lokasi sebenarnya membuka ruang kepada penjenayah untuk memperoleh maklumat sasaran mereka yang seterus­nya boleh menyumbangkan kepada berlakunya jenayah seperti pecah rumah dan rompakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Lam Thye berkata, terdapat juga pengguna laman sosial yang gemar mengemas kini status semasa dengan menyatakan mereka akan meninggalkan kediaman mereka atau pergi bercuti untuk beberapa hari dan tindakan tersebut sebenarnya mengundang risiko kepada keselamatan kediaman mereka.

Beliau memberitahu, walaupun setakat ini belum terdapat maklumat atau aduan mengenai kegiatan jenayah seperti pecah rumah atau rompakan disebabkan tindakan mengemas kini status atau

kedudukan, namun langkah keselamatan dan risiko penggunaannya harus diketahui pengguna.
“Meskipun setiap aplikasi itu ternyata mempunyai kebaikan, tetapi segalanya berbalik kepada pengguna sendiri sama ada ingin menggunakan secara positif atau sebaliknya.

“Kalau harus benar-benar faham risiko yang mungkin berlaku, kalau kita tidak mahu mengambil sebarang risiko, baik jangan muat turun,” tambah beliau.
-


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Kemas Kini Status FB Dedah Kepada Jenayah"

Post a Comment