Isu kondominium akan dibawa kepada Sultan Selangor



KAJANG – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (MPPIBG) 1 Selangor akan menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu bantahan projek pembinaan sebuah kondominium mewah di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam menyelesaikan isu yang berbangkit itu.

“Kita akan mengunakan pelbagai saluran dalam memberi tekanan supaya projek itu dibatalkan, Adun Dengkil Shahrum Mohd Sharif pula akan memainkan peranan sebagai Adun yang akan membangkitkan isu itu di sidang Dun.

“Saya pula akan memainkan peranan di peringkat Persekutuan untuk membawa aduan tersebut kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kerana terdapat isu berbangkit dalam laporan Kajian Impak Trafik (TIA) berhubung projek itu,” katanya.

Noh Omar berkata, Jawatankuasa Bertindak sekolah tersebut mendakwa laporan TIA yang dikemukan oleh pemaju adalah tidak tepat.

“Kita akan memperjelaskan secara terperinci kepada LLM berhubung TIA di sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga memohon polis menyiasat laporan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Bertindak sekolah berkenaan berhubung laporan TIA itu.

“Saya akan menghubungi Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard supaya terus ambil tindakan segera ke atas laporan itu supaya ia dapat disiasat dengan lebih teliti sama ada berlaku penipuan atau sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Presiden MPPIBG 1 Selangor Datuk Seri Abdul Rahman Ali berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Jawatankuasa Bertindak PIBG sekolah berkenaan membangkitkan bantahan terhadap projek tersebut.

“Kita bersimpati ke atas apa yang dihadapi oleh sekolah ini, kita mengikuti perkembangan berhubung isu ini sejak Disember lalu, MPPIBG 1 Selangor bersama sekolah ini akan menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor dalam masa terdekat.

“Kita juga akan membincangkan isu bantahan projek ini dalam mesyuarat Exco MPPIBG 1 Selangor pada April ini,” katanya.

Projek tersebut dikatakan bakal menempatkan 30 unit kedai termasuk 498 unit pangsapuri mewah setinggi 36 tingkat mendapat bantahan masyarakat setempat yang mendakwa bakal berdepan masalah kesesakan lalu lintas dan mengancam keselamatan serta keselesaan lebih 1,000 pelajar sekolah bertaraf Sekolah Kluster Kecemerlangan itu yang dibina sejak 55 tahun lalu.

-Sinar Harian


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Isu kondominium akan dibawa kepada Sultan Selangor"

Post a Comment