Janji kosong kad keahlian, lelaki buat aduan TTPM



HATI siapa tidak berbunga riang tatkala ditawarkan dengan pelbagai potongan harga bagi penginapan di hotel dan lokasi tarikan pelancongan terpilih dengan hanya memiliki sekeping kad keahlian.

Saat dicanangkan dengan berita gembira itu, sudah semestinya minda giat mencongak percutian untuk seisi keluarga, apatah lagi peluang terbuka luas untuk merehatkan minda sambil merapatkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga.

Namun, berita itu sekadar janji kosong apabila kad keahlian yang menjadi ‘kunci’ kepada segala tawaran potongan harga itu tidak kunjung tiba walaupun sudah lebih setahun menunggu.

Tidak betah berdiam diri, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dan hanya dikenali sebagai Mohd. Nubli kemudian membuat aduan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di tingkat 16, Putra Place, berdekatan Sunway Putra Mall, di ibu negara.

Ketika kes tersebut didengar oleh Presiden tribunal Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin baru-baru ini, lelaki itu memberitahu, dia mendapat tawaran berkenaan pada 25 November 2014 berhubung kad keahlian tersebut dan membuat bayaran menerusi potongan kad kredit keesokan harinya sebanyak RM599.

“Saya tertarik dengan tawaran yang diberikan iaitu potongan harga bagi penginapan di hotel dan lokasi tarikan pelancongan yang terpilih. Malah, pihak mereka juga menawarkan polisi insurans selama setahun kepada saya.

“Namun setelah sebulan menanti, saya masih tidak dapat sebarang maklum balas daripada pihak syarikat. Panggilan telefon yang dibuat kepada syarikat berkenaan juga tidak berjawab,” katanya.
Akhirnya, menurut Mohd. Nubli, dia mengambil keputusan untuk ke pejabat syarikat berkenaan dan mereka berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut.

“Apabila ditanya mengenai kad keahlian berkenaan, mereka beritahu saya bahawa stok kad itu sudah habis dan masih menunggu daripada pihak pembekal. Namun selepas curiga dengan jawapan tersebut, saya katakan kepada mereka yang saya tidak mahu meneruskannya lagi dan ingin wang dikembalikan,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, pihak syarikat terbabit tidak hadir pada prosiding berkenaan bagi menjelaskan perkara berbangkit itu.

Setelah meneliti keterangan pihak yang menuntut, Zul Hasnan Najib dalam keputusannya membenarkan tuntutan yang dibuat sekali gus mengeluarkan perintah syarikat terbabit membayar RM599 kepada Mohd. Nubli dalam tempoh 14 hari.

- Utusan Malaysia


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Janji kosong kad keahlian, lelaki buat aduan TTPM"

Post a Comment