Maut Elak Anjing

ALOR SETAR 5 Mac – Seorang remaja perempuan maut apabila kereta Toyota Altis yang dinaiki bersama tiga rakannya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok kerana mengelak seekor anjing yang tiba-tiba melintas di Kilometer 65, Le­buh Raya Utara Selatan di sini hari ini.
 Ewe Zhen Qi

Dalam kejadian kira pukul 1.55 pagi itu, mangsa, Ewe Zhen Qi, 15, yang merupakan penumpang di bahagian belakang mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Sementara tiga rakannya iaitu Ong Chee Hean, 22, yang merupakan pemandu kereta; Lim Ben Chen, 22, (penum­pang hadapan) dan Ooi Xiu Qin, 15, (penumpang belakang) hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Fadzil Hashim berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Alor Setar untuk bertemu rakan mereka.
“Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di laluan tersebut, pemandunya terkejut selepas melihat seekor anjing tiba-tiba melintas dan cuba mengelak namun kenderaannya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
“Kereta berkenaan juga telah berpusing sebelum bahagian belakangnya merempuh sebatang pokok jati di tepi le­buh raya berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambah Fadzil, mangsa yang duduk di bahagian belakang mengalami kecederaan parah sebelum disahkan me­ninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke HSB untuk dibedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
- Utusan Malaysia


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "Maut Elak Anjing"

Post a Comment