MB: Masa gembleng tenaga bawa perubahan Malaysia



SHAH ALAM, 6 MAC: Sekarang adalah masa terbaik untuk semua rakyat menggembleng tenaga tanpa mengira latar belakang politik membawa perubahan ke arah Malaysia lebih baik.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun sejarah tidak akan dilupakan, namun ia perlu dijadikan iktibar untuk terus ke hadapan.

“Sekarang masanya untuk kita bergerak ke hadapan. Kami di sana sebagai rakyat Malaysia mewakili pelbagai parti, ideologi dan orang awam.

“Saya rasa sekarang semua daripada kita seperti yang saya sebutkan sebelum ini, kita sebagai rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang politik untuk bergerak ke hadapan melakukan perubahan efektif demi Malaysia.

“Itulah objektif utama yang perlu kita lakukan dan melihat masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas reaksinya yang dilihat selesa duduk bersebelahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media Deklarasi Malaysia tempoh hari.

Mengulas lanjut serangan pimpinan Umno terhadap Tun Mahathir, Mohamed Azmin berkata, ia perkara biasa ekoran mereka tidak boleh menerima hakikat sekarang masanya untuk seluruh rakyat bersatu membawa perubahan besar kepada negara dan sistem.

Katanya, pertemuan pelbagai pihak dengan Tun Mahathir bukan sahaja mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur, malah terus memastikan reformasi sistem dilakukan.

Beliau berkata, selaku pemimpin mereka akan menjelaskan kepada rakyat berkenaan tindakan mereka kerana ia bukan soal Tun Mahathir atau individu lain tetapi, berkait dengan soal menyelamatkan negara.

“Saya bukan daripada Umno, tetapi berkhidmat bersama pimpinan senior Umno hampir 13 tahun jadi sudah tentu saya mempunyai hubungan rapat peribadi bersama Tun Mahathir sejak beberapa tahun.

“Saya sudah katakan pada kali pertama perbicaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Tun Mahathir yang memperkenalkan saya kepada dia (Anwar).

“Ia bukan soal pilihan individu tetapi pada saya ini soal prinsip, apa yang berlaku pada tahun 1998 saya tidak dapat lupakan tetapi kita perlu bergerak ke hadapan,” katanya.

-Selangor Kini


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "MB: Masa gembleng tenaga bawa perubahan Malaysia"

Post a Comment