PKR Sarawak Gesa KM Putus Hubungan Dengan Najib



Ketua PKR Sarawak Baru Bian bertanya hari ini, berapa lama lagi Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem bercadang untuk meneruskan sokongan beliau kepada perdana menteri yang "semakin hampir ke hari penghujungnya".

"Persoalan untuk ketua menteri ialah sama ada beliau akan terus mengisytiharkan rasa kagum dan sokongannya kepada insan ini, yang kelakuannya tidak bermaruah atau jujur sejak memegang jawatan," kata Baru sambil menyatakan sokongan kepada Deklarasi Rakyat yang menyeru penyingkiran Datuk Seri Najib Razak, ditandatangani di Kuala Lumpur, semalam.

"Sebagai seorang terpelajar dan banyak membaca, ketua menteri perlu sedar, seseorang itu dikenali dari rakan yang didampinginya.

"Ketua menteri perlu sedar, Najib semakin hampir ke hari penghujungnya," katan ahli Dewan Undangan Negeri Ba' Kelalan itu.

Deklarasi Rakyat itu diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan ditandatangani 58 individu termasuk beberapa tokoh daripada Umno, parti pembangkang dan masyarakat sivil.

Ia menyeru ke arah penyingkiran Najib daripada jawatannya dan beberapa pembaharuan institusi, seperti usaha memulihkan integriti "institusi yang menjadi lemah" seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Baru berkata, Adenan "harus membebaskan dirinya daripada Najib dan menjarakkan hubungan mereka, bukannya terus memeluk beliau dengan begitu mesra setiap kali beliau datang (ke Sarawak)".

Katanya, jika Adenan gagal berbuat demikian, "kami (akan) meminta rakyat Sarawak berbuat demikian apabila mereka membuang undi pada pilihan raya akan datang".

"Masa untuk perubahan sudah tiba."

Baru berkata, beliau juga setuju, tidak cukup sekadar usaha menyingkirkan seorang perdana menteri yang dicemari rasuah dan sekutunya.

Pengisytiharan semalam, katanya, perlu disokong semua orang kerana ia bukan semata-mata gesaan menyingkirkan Najib tetapi juga menuntut perubahan institusi "membetulkan kesilapan yang dibuat pentadbiran sebelumnya pada masa lalu."

"Najib Razak merupakan produk dan sebahagian daripada sistem itu."

Baru berkata, keseluruhan sistem perlu dibaikpulih supaya tidak ada “Najib Razak” lain akan muncul dari mana-mana parti politik.

"Hari ini adalah satu langkah positif dalam usaha mengembalikan maruah negara ini dan menyelamatkannya dari kehancuran di tangan kerajaan pimpinan Najib.

"Saya menyokong penuh tuntutan yang dibuat dalam deklarasi itu, termasuk permintaan untuk memansuhkan undang-undang yang melanggar Perlembagaan Persekutuan dan pemulihan integriti institusi awam seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC."

Baru berkata, beliau juga gembira penandatangan perjanjian itu semalam datang dari latar belakang dan kumpulan yang berbeza-beza.

"Seperti yang dikatakan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad yang menubuhkan kumpulan itu), ia mengumpulkan rakyat yang ingin menyelamatkan negara ini dan bukan merupakan gabungan mana-mana parti politik.

"Sesetengah orang mungkin menuduh Dr Mahathir berhasrat membalas dendam kerana penyingkiran anaknya (Datuk Seri Mukhriz) sebagai menteri besar Kedah, tetapi pada pandangan saya, kita bertanggungjawab kepada diri kita sendiri dan negara untuk memberikan pergerakan ini peluang berkembang menjadi realiti seperti yang kita semua impikan untuk Malaysia.

"Malah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, yang duduk di penjara kerana komplot lalu Dr Mahathir, meletakkan kepentingan negara dan rakyatnya mengatasi perasaan peribadinya dan memberi sokongan kepada inisiatif Dr Mahathir itu."

Baru berkata, majlis semalam mencerminkan rasa meluat rakyat kepada perdana menteri dan pentadbiran beliau, dan kesungguhan mereka berjuang untuk hari esok yang lebih baik tanpa kepimpinan itu. –The Malaysian Insider


Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "PKR Sarawak Gesa KM Putus Hubungan Dengan Najib"

Post a Comment